KEMABONG, 22 MEI 2022 - Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah dengan kerjasama Kelab Motorcross Tenom telah berjaya menganjurkan program MyFit @ Motorsports Peringkat Negeri Sabah bertempat di Rundum Highlands, Kemabong.

Program selama dua hari ini padat dengan pelbagai pengisian dan aktiviti antaranya konvoi, klinik asas, demo dan sebagainya di mana berjaya menarik penyertaan seramai lebih kurang 100 orang peserta.

Perjalanan program bermula dengan pelepasan konvoi dari Kompleks Sukan Tenom menuju Rundum Highlands dengan jarak lebih kurang 70 km. Cabaran getir bermula di pekan Kemabong apabila peserta perlu mengharungi trek yang mencabar sejauh 30 km sebelum tiba di Rundum Highlands.

Menurut Pengarah JBS (P) Negeri Sabah, Encik Apui Jan, program ini diadakan dengan tujuan mendedahkan para peserta dengan cabaran mengharungi trek lasak di samping berkongsi ilmu, pandangan dan idea antara peserta.

"Semoga program sebegini akan diteruskan di masa hadapan seterusnya melahirkan bakat baharu dalam kalangan penggiat sukan bermotor negeri Sabah terutamanya dalam kalangan generasi muda," ujar beliau.

Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan Unit Sukan Bermotor JBSN, Encik Mu'azam Abdul Mutalib.

Ditulis oleh: Media JBSN