Bahagian Pembangunan Belia

PUTRAJAYA, 30 JUN 2022 - Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) sentiasa mementingkan penyampaian maklumat yang berkesan dan efisien termasuklah melalui penggunaan portal rasmi JBSN.

Sehubungan itu, satu taklimat ringkas telah diadakan melibatkan Ibu Pejabat JBSN sebelum dikembangkan ke peringkat negeri di mana penerangan telah disampaikan urus setia komunikasi JBSN, saudara Fadzil Hadri Mohd Nawawi.

Menurut Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad, penggunaan portal adalah penting bagi menjadi sumber rujukan kepada pemegang taruh terutamanya dalam kalangan komuniti belia dan sukan.

"Setiap perkembangan akan dikemaskini dengan segera menggunakan semua saluran media yang tersedia termasuklah media sosial dan portal," tambah beliau.

Turut hadir, wakil dari Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) KBS, Puan Mazian Md. Taib.

Ditulis oleh: Media JBSN

 

KOTA KINABALU, 23 JUN 2022 - Ketua Setiausaha KBS, Dato' Jana Santhiran Muniayan mengadakan kunjung hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan Sabah, YB Datuk Ellron Angin.

Kunjungan berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan Sabah bertempat di Wisma MUIS, Kota Kinabalu yang mana membincangkan pelbagai perkara berkaitan pembangunan belia dan sukan yang turut disertai Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad.

Menurut Tuan Mohd Azhari, kunjungan ini turut diadakan bagi membolehkan perbincangan khusus berkaitan kemuncak sambutan Hari Belia Negara (HBN) diadakan.

"Diharapkan menerusi perbincangan ini, ia akan memastikan gerak kerja diselaraskan dengan lancar seterusnya memastikan setiap perancangan berjalan dengan teratur," ujar beliau.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Belia), Dr. Zainah Shariff dan pengurusan KBS serta JBSN.

Ditulis oleh: Media JBSN

 

BUKIT JALIL, 17 JUN 2022 - Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) turut bersama memberikan penerangan mengenai aktiviti pembangunan belia dan sukan sempena "Sesi Teh Tarik" Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Faizal Dato' Azumu bersama editor media.

Berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, penerangan JBSN telah disampaikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Belia), Dr. Zainah Shariff terutamanya melibatkan aktiviti pembangunan belia dan pemerkasaan sukan untuk semua.

Menurut Dr Zainah, sesi ini sangat signifikan bagi KBS terutamanya JBSN di dalam memberikan penerangan berkaitan penganjuran program dan aktiviti pembangunan belia dan sukan.

"Pandangan dan idea yang diberikan rakan strategik terutamanya dalam kalangan warga media dapat membantu meningkatkan keberkesanan penganjuran terutamanya daripada perspektif penjenamaan, imej dan publisiti," tambah beliau.

Turut bersama, Ketua Setiausaha KBS, Dato' Jana Santhiran Muniayan dan Pemangku TKP (Pembangunan Sukan), Encik Sabran Abd. Bahar.

Ditulis oleh: Media JBSN

 

SEPANG, 17 JUN 2022 - Seramai 102 pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negara merangkumi Ibu Pejabat, Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Akademi Pembangunan Belia Malaysia  menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KBS Tahun 2021.

Berlangsung di salah sebuah hotel di Sepang, majlis telah disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Faizal Dato' Azumu di mana turut disiarkan secara dalam talian.

Menurut Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad, anugerah ini merupakan pengiktirafan bagi meraikan sumbangan dan pengorbanan warga kerja JBSN di dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Walaupun berdepan pandemik COVID-19, Team JBSN sentiasa komited memberikan perkhidmatan terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih berkuat kuasa.

"Semoga kecemerlangan dan momentum yang dibina ini berkekalan seterusnya memperkasakan peranan yang dimainkan JBSN demi pembangunan belia dan sukan terutamanya di peringkat akar umbi," tambah beliau.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Dato' Sri Ti Lian Ker, Ketua Setiausaha KBS, Dato' Jana Santhiran Muniayan dan pengurusan tertinggi KBS dan JBSN.

Ditulis oleh: Media JBSN