home button

 
 

APBM Batu Gajah

323127


KUALA TERENGGANU, 27 MEI 2019 - Belacan, ikan kering, keropok, burger dan pewangi. Itu antara perniagaan awal yang dibuat pemuda kental ini yang bermula dari bawah sebelum berjaya dengan perniagaannya sekarang, Pokkem Fruits & Juice.

Baru berusia 30 tahun, Muhd Azizul Hakim Aziz cukup matang dengan pancaroba dan jatuh bangun perniagaan, malah detik hitam apabila di ‘blacklist’ menjadikannya lebih kuat dan bersemangat untuk berjaya.

Menceritakan detik awal perniagaannya, Azizul Hakim yang mesra dengan panggilan Pokkem berkata, dia mempunyai minat yang mendalam dalam perniagaan, membuatkannya membuka gerai burger sebaik tamat pengajian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Tapi, tanggungjawab sebagai anak sulung daripada lima beradik dan ingin menjadi contoh kepada adik-adiknya mendorong Pokkem menyambung pelajaran di Kolej Polytech Mara, Kuantan.

“Memandangkan saya sudah membuat pinjaman bagi melanjutkan pelajaran, saya mengambil keputusan untuk berniaga untuk menyara kehidupan. Atas nasihat dan didikan ayah, saya menjual hasil laut seperti belacan, ikan kering dan keropok dengan menjaja di sekitar bandar Kuantan.

“Saya juga menjadi pengedar pewangi sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dengan tajaan Mara. Tamat belajar, saya membuka kedai ‘Terengganu Heritage’ dengan menjual hasil laut Terengganu dan batik, sutera di Selayang, Selangor,” katanya.

Menjangkau usia 26 tahun, Pokkem ditawarkan bekerja sebagai pegawai di salah sebuah bank di ibu negara. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, perniagaannya jatuh dan di senarai hitam gara-gara menjadi penjamin kepada seorang kenalannya, membuatkan dia hilang kerja di bank dan segala-galanya, sebelum pulang ke Terengganu sebatang kara.

“Saya bernasib baik kerana ibu bapa dan keluarga menjadi tulang belakang saya, membuatkan saya bangkit kembali.

“Saya cuba nasib bekerja dengan syarikat Terengganu Agrotech Development pada tahun 2015 sebagai Pegawai Pemasaran. Antara tugas saya adalah memasarkan buah Melon Manis Terengganu supaya dikenali seluruh negara.

“Saya juga membuat promosi ke luar negara sehingga Singapura dan Korea Selatan. Dari situ, saya kenal ramai orang dan jutawan buah-buahan. Tidak lupa kepada pekebun Melon Manis Terengganu, kejayaan mereka semua membuatkan saya bertambah semangat untuk kembali bangkit,” katanya.

Menu istimewa yang dibawakannya adalah bingsu buah-buahan inspirasi dari Korea

Akhirnya pada Disember 2017, dia nekad berhenti kerja dan membuka perniagaannya sendiri iaitu Pokkem Fruits & Juice.

Bermula dengan hanya dua pekerja, Pokkem kini boleh berbangga dengan perniagaannya yang mula berkembang dan kini mempunyai lapan pekerja dan mempunyai dua cawangan di Kuala Terengganu iaitu di Paya Bunga Square dan di Mayang Place, Batu Burok.

Pokkem Fruits & Juice menawarkan lapan menu utama iaitu pelbagai jenis bingsu buahan-buahan, juice milkshake, waffle fruits, coklat strawberi, kek cheese mango, rojak buah, pancake dan aiskrim buah-buahan.

Bingsu merupakan ais batu yang dikisar lembut dan untuk mengeraskan ais itu, mengambil masa selama dua hari selain dihidangkan bersama buah-buahan segar.

“Saya pernah ke Korea Selatan sewaktu mempromosikan Melon Manis Terengganu. Ketika itu, saya kenal bingsu dan jatuh cinta dengan rasanya yang enak. Saya belajar cara membuatnya di Thailand dan dengan saudara saya.

“Ia umpama ABC tapi versi Korea. Saya olah dengan adunan sendiri seperti tambah banyak buah-buahan, supaya pelanggan boleh imbangkan kemanisan buah-buahan dan susu,” katanya.

Jelas Pokkem, dia berhasrat untuk mengeluarkan menu baharu selepas hari raya nanti, di samping memperkenalkan mobil bergerak berjenamakan PFJ.

Selain itu, dua lagi cawangan baharu yang dijangka akan menyusul iaitu di Marang dan Ipoh.

“Sebenarnya, banyak lagi perancangan saya untuk mengembangkan bisnes ini, tapi saya tak mahu gopoh tapi buat satu per satu. Antara harapan saya adalah membuka cawangan PFJ di seluruh negara dan memperbanyakkan mobil bergerak.

“Jika ada rezeki, saya ingin memiliki produk air kotak atau air botol buah-buahan dengan jenama sendiri pada masa akan datang,” katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/29263/BISNES/Pernah-jual-belacan-kena-blacklist
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf



YAYASAN SENTRAL


KUALA LUMPUR, 27 MEI 2019 - Yayasan Sentral yang baharu berusia setahun diwujudkan bagi membantu usahawan Melayu dan Bumiputera yang berniaga secara online dan fizikal.

Menerusi Projek Usahasama dengan Usahawan yang digerakkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Sentral, peniaga kecil dan sederhana yang giat berniaga ditawarkan dana lapan dalam satu termasuk dana minima berjumlah RM10,000.

Datuk Paduka Zaidi Che Mat yang diundang sebagai tetamu segmen Mornink Blues di Utusan Online, di sini pagi tadi berkata, fasa pertama Projek Usahasama dengan Usahawan ini dibuka kepada 1,000 orang peniaga sama ada menjalankan perniagaan secara online atau pun secara fizikal di seluruh negara.

"Ini adalah satu projek usahawan membantu usahawan di mana kita tahu, terdapat banyak peluang perniagaan yang terbuka tetapi tidak ramai yang merebutnya.

"Dengan sentuhan modal minima RM10,000 yang diberi kepada usahawan atau peniaga kecil dan sederhana ini, kita bantu juga secara holistik yang berbangkit dalam perniagaan yang mereka jalankan," katanya yang merupakan seorang jurutera awam yang pernah berkhidmat di Wisconsin, Amerika Syarikat selama 11 tahun.

Menurut Zaidi lagi, modal RM10,000 yang dihulurkan kepada usahawan atau peniaga Melayu , akan dipastikan menjana pendapatan peniaga itu dengan cara yang betul manakala pembayaran balik dilakukan tanpa faedah dikenakan ke atas penerima.

Oleh yang demikian, ujarnya, Projek Usahasama dengan Usahawan ini boleh dilihat fungsinya sebagai pengagih dana dalam kalangan peniaga Melayu untuk menjalankan perniagaan mereka.

Berpegang kepada prinsip, usahawan bukan dibentuk tetapi dilahirkan, Zaidi menambah, Projek Usahasama dengan Usahawan ini turut menawarkan bantuan menyediakan kertas kerja yang mana, tidak ramai yang tahu bagaimanakah caranya untuk membuat satu kertas kerja yang lengkap.

"Menyediakan satu kertas kerja yang lengkap amat penting supaya kertas kerja itu tidak ditolak. Ini kerana kebanyakan kertas kerja ditolak oleh institusi perbankan atas alasan, kertas kerja itu tidak lengkap.

"Bantuan menyediakan kertas kerja dibuat berdasarkan data daripada usahawan dan kita tidak mengubah bentuk perniagaan yang dijalankan tetapi kita bantu dalam menyediakan kertas kerja," jelasnya.

Selain daripada itu, Zaidi menambah, usahawan atau peniaga yang ingin mendapatkan bantuan menerusi Program Usahasama ini, perlu terlebih dahulu mendaftar perniagaan mereka dengan SSM.

"Ada SSM, anda warganegara Malaysia, bawa kad pengenalan dan kita bantu segala aspek termasuk pemasaran, memantau sistem kewangan, aliran tunai dan diajar juga cara-cara membaca kenyataan untung dan rugi," katanya.

Bagi usahawan Melayu yang ingin bergerak maju, mereka memerlukan bimbingan dan sokongan tetapi tidak perlu bimbang kerana Projek Usahasama dengan Usahawan tidak mengikat seseorang itu dengan mesyuarat wajib hadir.

"Seperkara lagi, pengurusan usawahan. kita yang kendalikan manakala peniaga hanya membawa branding Yayasan Sentral. Terkini, kita membantu seorang usahawan yang menjalankan perkhidmatan Spa Bergerak, dari rumah ke rumah.

"Pendekata, mana-mana aspek yang kabur bagi seseorang usahawan itu, Yayasan Sentral menerusi Projek Usahasama dengan Usahawan akan membantu kerana kita ada komuniti usahawan yang duduk di dalam yayasan ini," katanya. - UTUSAN ONLINE

ODIT2

TRONOH, PERAK, 24 MEI 2019 - Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) dalam usaha menuju ke pengiktirafan sebagai Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) apabila telah mengedakan Pra Audit bagi amalan EKSA yang dijalankan oleh warga APBM Batu Gajah.

Pra Audit tersebut telah dijalankan oleh Encik Wan Hussin Bin Wan Ahmad, selaku pegawai yang telah dilantik oleh pihak MAMPU dalam pengauditan serta pengiktirafan EKSA di jabatan-jabatan kerajaan

Pada pra audit tersebut, terdapat 5 Zon yang telah diaudit iaitu Zon E-Usahawan, Zon E-Digital, Zon E-Tempahan, Zon E-Dagang dan Zon E-Niaga yang meliputi keseluruhan kewan APBM Batu Gajah.


sate

BOTA, PERAK, 27 FEBRUARI 2019 - Sungguhpun Normazila Abdul Samad, 32, tidak berpelajaran tinggi, namun perniagaan sate diusahakannya di pekan Bota, Perak mampu menarik sejumlah pelanggan yang ramai. Kebanyakan pelanggan terdiri daripada pengguna jalan raya yang dalam perjalanan ke kawasan perkelahan Lumut dan destinasi pelancongan Pulau Pangkor.

 Di sepanjang laluan sibuk itu, pengguna jalan raya dari seluruh pelusuk negara terutama dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan biasanya singgah di deretan gerai yang menjual buah-buahan dan makanan yang dibuka di bahu jalan.

Antara makanan yang menarik perhatian mereka adalah sate yang dijual di gerai Sate Zila terletak bersebelahan pejabat Lembaga Tabung Haji Bota.

Gerai jualan sate milik Normazila dan suaminya, Wan Razual Shah Rizal Ahmad, 38, diuruskan dengan bantuan seorang pekerja, Shila Amin, 30. Gerai itu mampu mencatatkan jualan memberangsangkan iaitu sekitar 1,500 cucuk sate sehari jika cuaca cerah dan baik.

Normazila berkata, dia mula mengusahakan jualan sate di gerai itu pada 2014.Dia memilih menu itu kerana jualan sate tidak mempunyai risiko tinggi dan makanan itu pula digemari pelbagai kaum di negara ini.Selain itu katanya, dia membuka gerai di lokasi tersebut kerana kebanyakan pelancong yang dalam perjalanan menuju ke Lumut dan Pulau Pangkor gemar singgah membeli-belah di deretan kedai di situ sekali gus memberi idea kepadanya untuk membuka gerai sate di situ.

“Pada cuti hujung minggu dan cuti umum, kawasan ini menjadi tumpuan ramai,” katanya kepada Mega Rona.

Gerai Sate Zila menawarkan sate ayam, daging, paru dan perut serta air kelapa pada hari biasa.Pada hari Sabtu dan Ahad pula, Normazila menambah jenis minuman iaitu air lemon, laici dan milo serta burger.

Normazila berkata, harga bagi setiap cucuk sate adalah 60 sen bagi sate daging dan perut manakala sate paru berharga 90 sen secucuk.Menurutnya, selain pelancong dan pengguna jalan raya, penduduk sekitar Bota, Seri Iskandar dan Kampung Gajah juga selalu singgah di gerainya.

“Saya dapat bekalan bahan mentah daripada PCK Fresh Mart Sdn. Bhd. yang terletak di Seri Iskandar,” tambahnya.

Normazila membuka gerainya pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat, mulai pukul 3 petang hingga 7 malam manakala pada Sabtu dan Ahad dia memulakan perniagaan dari pukul 12 tengah hari hingga 7 malam.

Antara keistimewaan sate mereka adalah saiz yang lebih besar dan cukup rempah ratusnya di samping hanya daging segar digunakan untuk menghasilkan sate.

Mengulas cabaran yang dihadapi, katanya, sate tidak habis dijual berikutan cuaca hujan beserta angin kuat sehingga mematahkan payung gerai yang dipasang merupakan antara cabaran yang pernah ditempuhnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd