home button

 
 

APBM Batu Gajah

TRONOH, PERAK, 3 OGOS 2022 – Cawangan Pembangunan Ekonomi dari Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) telah mengadakan lawatan dan sesi perbincangan tadbir urus pelan pembangunan keusahawanan belia di Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM), Batu Gajah. APBMBG diketuai oleh Pengarah, Tuan Vijayan Kumar A/L Nadarajan dan Encik Azlan bin Hussain, Timbalan Pengarah APBMBG serta barisan pegawai Bahagian Latihan APBMBG. Perbincangan adalah menjurus kepada penstrukturan semula APBMBG agar lebih dikenali sebagai pusat melahirkan usahawan yang berjaya melalui program-program yang akan dijalankan. Oleh yang demikian, APBMBG akan mempergiatkan dan memperhebatkan lagi promosi dalam media sosial dan secara bersemuka pada masa akan datang. Selain itu, APBMBG juga akan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta serta persatuan-persatuan berkaitan keusahawanan. APBMBG juga akan memainkan peranan sebagai saluran untuk menghebahkan informasi yang berkaitan dengan keusahawanan di peringkat akar umbi. APBM mengucapkan terima kasih di atas kunjungan TEAM CPE dari KBS yang diketuai oleh Pengarah CPE, Hartini Bt A. Jabbar. Semoga kunjungan ini akan menjadi satu titik permulaan kepada APBMBG untuk lebih menyerlah, dikenali dengan peranan dalam membentuk dan membimbing belia-belia di seluruh Malaysia untuk menceburkan diri dalam dunia keusahawanan.
TRONOH, PERAK, 2 OGOS 2022 – Satu taklimat dan lawatan tapak bagi sebut harga perkhidmatan membersih, menyelenggara, mencuci kawasan dan kerja-kerja landskap di Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah, Perak. Pengarah Akademi Pembangunan Belia Malaysia, Tuan Vijayan Kumar A/L Nadarajan telah mengalu-alukan kedatangan para kontraktor perkhidmatan kebersihan dan landskap serta menyampaikan taklimat ringkas di auditorium. Turut hadir adalah Encik Azlan bin Hussain, Timbalan Pengarah APBM. Kakitangan Akademi Pembangunan Belia Malaysia juga terlibat dalam urusan pendaftaran pelawat, pengiring lawatan dan sebagainya. Semoga kontraktor yang terpilih akan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan lebih baik dan berkesan demi menambahkan lagi keceriaan di Akademi Pembangunan Belia Malaysia. Semoga berjaya.
TRONOH, PERAK, 2 OGOS 2022 – Cawangan Pengembangan Inovasi Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah telah menganjurkan PROGRAM WEBINAR BIZZUP MYPRENEUR@APBMBG SIRI 18 yang bertajuk PEMASARAN DIGITAL MEDIA SOSIAL (GOOGLE BUSINESS PROFILE). Program ini berlangsung selama dua jam secara dalam talian melalui platform Zoom Meeting dan Facebook Live Akademi Pembangunan Belia Malaysia. Suraya bt Ali yang memegang jawatan sebagai CERTIFIED MASTER TRAINER eUSAHAWAN adalah penceramah jemputan dan telah berjaya menarik 129 orang untuk menyertai program webinar ini. Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) mengucapkan terima kasih kepada penceramah, Suraya bt Ali kerana telah berkongsi ilmu yang cukup berharga dan juga kepada peserta program webinar yang sudi meluangkan masa untuk mengikuti dari mula hingga berakhirnya program webinar. Semoga berjaya. APBM akan sentiasa menganjurkan program berteraskan keusahawanan demi melahirkan lebih ramai lagi usahawan yang berjaya dan berilmu.
TRONOH, PERAK, 1 OGOS 2022 - Jurutera Daerah JKR Kinta telah mengadakan lawatan ke Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah bagi meninjau perkembangan terkini mengenai projek naik taraf yang dijalankan di APBM sejak dua tahun yang lalu. Pegawai dari JKR diwakili oleh Encik Ir. Ts. Jeffryl Azniel bin Adzar, Jurutera Daerah JKR Kinta dan Pn. Nur Liyana bt Zainal, Jurutera Awam (Bangunan) JKR Kinta. Turut mengiringi sesi lawatan itu adalah Pengarah APBM, Tuan Vijayan Kumar A/L Nadarajan. Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada pegawai JKR tersebut kerana sudi meluangkan masa untuk mengunjungi APBM. Semoga dengan lawatan sebegini akan mempercepatkan lagi proses projek naik taraf dan segala kemudahan di APBM akan dapat digunakan sepenuhnya.