DUNGUN  26 JANUARI 2022 – Bencana banjir yang telah melanda Kampung Pasir Raja di daerah Dungun jika dilihat dari sudut yang positif telah menunjukkan hikmahnya. Berpuluh-puluh sukarelawan belia daripada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Dungun bersama Majlis Belia Daerah Dungun dan Kelab GT 4X4 telah berganding bahu membentuk Skuad Sukarelawan Pasca Banjir Daerah Dungun yang diketuai oleh Puan Wan Norhayati binti Wan Ibrahim, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Dungun bagi memulihkan dan membersihkan kawasan yang terjejas disebabkan bencana ini di Kampung Pasir Raja, Dungun, Terengganu pada 5 Januari 2022. Apa yang lebih menarik, Ahli Skuad Sukarelawan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang kumpulan belia seperti Belia Bersekolah, Belia Pengajian Tinggi, Belia Berkerjaya, Perkumpulan Belia, dan Belia Berisiko yang telah bersatu bagi menjayakan satu misi yang sama. Kehadiran Skuad Sukarelawan ini bukan sahaja disambut baik oleh pemimpin dan penduduk tempatan malah turut memberikan sedikit kelegaan buat pihak Sekolah Kebangsaan Pasir kerana sekolah akan bermula tidak lama lagi.Selain daripada Skuad Sukarelawan Pasca Banjir Daerah Dungun, agensi kerajaan dan penduduk setempat. Misi pasca banjir ini turut dibantu oleh Team Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu yang diketuai oleh Encik Mohd Izwandy bin Ismail, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu.   Disediakan Oleh : Pejabat Belia dan Sukan Daerah Dungun, Terengganu