Kuala Pilah, 14 Mac 2020 - Bertempat di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah, telah berlangsung Majlis Perasmian Klinik Pembangunan Sukan Teqball Peringkat Negeri Sembilan 2020 dengan kerjasama Persatuan Teqball Malaysia. Seramai 63 orang peserta berumur antara 13 hingga 15 tahun yang terdiri daripada 50 orang peserta lelaki dan 13 orang peserta perempuan telah mendaftarkan diri bagi mempelajari sukan teqball yang baru diperkenalkan di Malaysia ini dan sedang pesat berkembang di dunia. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Encik Mohd Azhari bin Mohammad, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara pada pukul 10.30 pagi yang turut dihadiri oleh Encik Mohd Fauzi bin Haji Ariffin, Pengarah Cawangan Penggalakan dan Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Encik Nor Azli bin Mohamad Daud, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Encik Sivakumar Jakarathan, Presiden Persatuan Teqball Malaysia, Pegawai dari Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara serta Pegawai-pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan. Objektif penganjuran Klinik Pembangunan Sukan Teqball pada kali ini adalah untuk memperkenalkan sukan teqball kepada masyarakat tanpa mengira jantina, menarik ramai penyertaan terutamanya golongan belia dalam sukan teqball serta memperkembang dan mengasah bakat-bakat baru dalam sukan teqball yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Setiap peserta dapat mempelajari latihan asas dan teknikal secara menyeluruh melalui jurulatih-jurulatih yang berpengalaman luas dalam bidang sukan teqball sekaligus melalui fasa pembelajaran yang lebih efektif dan berkesan.