home button

Negeri Sembilan

TAMPIN, 4 Jun 2022 - Hari ini telah berlangsungnya Program Rakan Muda Day Out (RMDO) Daerah Tampin Siri 1/2022 - Khidmat Bakti Masyarakat. Perumahan PPR Jalan Seremban, Tampin telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan kali ini bagi aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran kawasan perumahan. Selain itu, kerja-kerja gotong royong pada kali ini lebih tertumpu pada rumah Puan Zainab Letchumy binti Abdullah. Antara kerja yang dilakukan adalah pembersihan laman depan dan belakang, penggantian tikar getah lantai dan tombol pintu serta mengemas di bahagian dalam rumah. Pasukan ini juga sempat membersihkan laman depan dan belakang rumah Puan Nuraishah binti Abdullah.

Bagi edisi ini, PBSD Tampin telah bekerjasama dengan SMK Tunku Besar Tampin, Majlis Daerah Tampin dan penduduk sekitar perumahan. Seawal jam 8.00 pagi, bersama 20 orang peserta aktiviti gotong royong dimulakan dan turut disertai oleh Encik Kajurin @ Kaddly bin Ujin, Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Tampin dan Tuan Hj. Mohd Ikhwan Sridaran bin Abdullah, wakil daripada SMK Tunku Besar, Tampin. Turut hadir bersama di dalam aktiviti ini ialah Puan Rafidah binti Omar Sidi, wakil SPKR dan penduduk setempat serta Puan Sukmah binti Hj. Hassan, Pembantu Belia Dan Sukan PBSD Tampin yang mana berakhir sepenuhnya pada jam 1.00 tengahari.

Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Tampin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong dan menjayakan program ini Rakan Muda Day Out (RMDO) Daerah Tampin Siri 1/2022 dengan jayanya.

 

Disediakan oleh : Team Media TAMPIN

Disunting oleh : Team Media JBSNS

TAMPIN, 4 Jun 2022 - Dewan SMK Tunku Syed Idrus, Tampin menjadi medan kehangatan dan kemeriahan penganjuran Malaysia Sports League (MSL) 2022 pada hari ini bagi Kejohanan Badminton Berpasukan Peringkat Daerah Tampin.

Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tampin selaku penganjur utama kejohanan dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti Parlimen Tampin (SRCC) dan di sokong rapat oleh Persatuan Badminton Daerah Tampin.

Sebanyak tujuh pasukan berentap bagi merebut gelaran juara dan naib juara seterusnya melayakkan pasukan ini mewakili daerah ini ke kejohanan peringkat negeri. Tepat jam 9.00 pagi, pengadil di ketiga-tiga gelanggang memulakan perlawanan pertama bagi kesemua kumpulan. Kejohanan diserikan lagi dengan kehadiran En. Kajurin @ Kaddly bin Ujin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tampin yang menyaksikan perlawanan akhir seterusnya sama-sama menyempurnakan upacara penyampaian hadiah.

Kejohanan pada kali ini diungguli oleh Team AZBC & A, Team Smasher BC selaku pemenang tempat kedua sementara Liau dan RBC berkongsi di tempat ketiga. Tahniah di ucapkan kepada semua pemenang.

 

Disediakan oleh : Team Media TAMPIN

Disunting oleh : Team Media JBSNS

SEREMBAN, 4 Jun 2022 - Program Active Aging and Wellness Peringkat Negeri Sembilan telah berlangsung hari ini bertempat di Kompleks Sukan Tan Sri Dato' Hj Mohd Said, Seremban 2. Program anjuran Jabatan bersama Kelab Boling Padang Warga Emas Seremban telah mendapat kerjasama penuh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, LPPKN Negeri Sembilan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.

Program kali ini dilaksanakan bagi menghebahkan kepentingan mengamalkan aktiviti sukan mahupun senaman yang secukupnya dalam kehidupan seharian selaras dengan salah satu dimensi dalam Dasar Warga Emas Negara iaitu dimensi penuaan aktif serta mengeratkan ikatan silaturrahim dan membentuk hubungan bekerjasama yang berterusan di antara semua lapisan masyarakat walau dalam apa jua keadaan dan cabaran.

Seramai 65 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum telah menyertai program ini dimana aktiviti yang pertama adalah segmen aktif dengan pengisian slot senamrobik oleh instruktor kecergasan daripada Persatuan Kecergasan Negeri Sembilan. Slot yang kedua telah diisi oleh Doktor Noor Zaljanah binti Mohamad, MOship dari Hospital Jempol mengenai pemakanan dan penjagaan kesihatan untuk warga emas dan slot terakhir yang ditunggu-tunggu adalah segmen kreatif lifestyle dimana telah diadakan pertandingan boling padang bagi kategori amatur dan profesional.

Sepanjang program berlangsung, pihak LPPKN juga telah membuka booth pameran kesihatan dan pemeriksaan kesihatan kepada peserta dan ianya telah mendapat sambutan hangat daripada para peserta.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Zuraidah binti Mat Ratin, Pegawai Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan bagi mewakili Pengarah. Terima kasih dan sekalung tahniah diucapkan kepada barisan urusetia dan para peserta yang sangat bersemangat dan memberi sepenuh komitmen terhadap program yang dianjurkan ini.

 

Disediakan oleh : Team Media SEREMBAN

Disunting oleh : Team Media JBSNS

SEREMBAN ,4 Jun 2022 - Program Fun and Responsible Rakan Muda Day Out, seramai 20 orang belia, 6 orang Angota APMN, Pejabat Perhutanan dan urusetia telah bersama-sama menawan puncak Gunung Angsi. Pendakian yang bermula pada jam 8.15 pagi itu selesai lebih kurang pada 3.00 petang.

Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada peserta dan masyarakat agar sentiasa menjaga kebersihan kawasan persekitaran. Antara keunikan perogram ini, peserta dikehendaki mengutip sampah sarap yang dibuang oleh para pendaki yang lain.

Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Seremban dengan kerjasama Kolej Cosmopoint dan Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Pilah ini merupakan program sulung dan berharap ianya akan menjadi program bersiri di masa akan datang.

 

Disediakan oleh : Team Media SEREMBAN

Disunting oleh : Team Media JBSNS