home button

Sarawak

MIRI, 11 SEPTEMBER 2020 - Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Miri telah menyerahkan aset alih ICT berupa dua buah set komputer Y-Centre Miri kepada pihak Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Limbang sebentar tadi. En. Zaini Bin Abd. Talib dari Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Limbang telah hadir ke PBSB Miri bagi menerima komputer tersebut daripada En. Roley Anak Lagir, Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Miri.

Permohonan aset alih komputer oleh PBSB Limbang adalah bertujuan untuk menggantikan komputer yang telah lama rosak. Semoga dengan adanya kemudahan komputer ini dapat membantu melancarkan lagi proses tugasan harian pihak PBSB Limbang.

KOTA SAMARAHAN, 11 SEPTEMBER 2020 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan telah membantu dalam mengendalikan aktivti senamrobik sempena program Cabaran 14 Hari Staf UiTM Cawangan Sarawak, anjuran Unit Sukan dan Unit Kesihatan UiTM bertempat di Pusat Palajar, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan pagi ini.

Sesi Senamrobik tersebut telah dikendalikan oleh Puan Norliati binti Li, Pembantu Belia dan Sukan yang juga instruktur senamrobik bertauliah.

Norliati telah mengendalikan sesi senamrobik kepada lebih 40 orang kakitangan UiTM Cawangan Sarawak sempena program tersebut.

Aktiviti yang dimulakan dengan sesi regangan dan pemanasan serta pergerakan low impak dan high impak, Fit Dance serta Zumba ini telah menarik perhatian kakitangan UiTM Cawangan Sarawak dan bersama-sama mengikuti senamrobik yang dikendalikan oleh Norliati disamping lagu latar yang terkini.

SEBUYAU, 11 SEPTEMBER 2020 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan menyertai pameran Program Outreach (Labour Grap) anjuran Pejabat Tenaga Kerja Kota Samarahan Samarahan bertempat di Dewan Pembangunan Sebuyau pagi ini.

Program tersebut bertujuan untuk memperkenalkan fungsi-fungsi jabatan kepada orang awam dikawasan luar bandar di samping turun ke padang bagi mendekati rakyat dan menyampaikan perkhidmatan jabatan terus kepada penduduk di kawasan terbabit yang mungkin menghadapi kesukaran untuk hadir bagi mendapatkan perkhidmatan daripada jabatan.

Antara pengisian program termasuk pameran agensi-agensi kerajaan dan badan berkanun, temuduga terbuka, pendaftaran secara online di portal JobsMalaysia, ceramah kerjaya, ceramah perburuhan dan kaunter perkidmatan jabatan.

Program telah dirasmikan oleh En. Awang Raduan bin Awang Omar, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sarawak.

Antara agensi yang menyertai pameran tersebut termasuk AADK Sarawak, Think Big Training, Jabatan Penerangan, Klinik Kesihatan, PERKESO, TH Plantation Bhd serta Ambang Wira Sdn Bhd.

MIRI, 10 SEPTEMBER 2020 – Bandaraya Miri telah menerima kehadiran Pakcik Joni Mohd Daus atau Pakcik Joni Merdeka pada 8 September 2020 yang disambut oleh Persatuan Belia Miri dan beberapa anak muda bermotor.

Pakcik Joni telah memulakan kayuhan merdeka beliau pada 22 Ogos 2020 dari Kuching yang juga telah singgah di Simanggang, Sarikei, Sibu dan Bintulu. Setibanya di Miri, Persatuan Belia Miri mengambil inisitiaf menyediakan penginapan serta makan minum Pakcik Joni sehingga ke hari ini. Selain itu, Persatuan Belia Miri juga telah menyediakan tempat untuk Pakcik Joni mempamerkan basikal beliau yang dihiasi dengan bendera dan bunga serta membuka kepada orang Miri yang ingin mengambil gambar bersama beliau di Gerai Tepian Sungai, Kampung Wireless.

Untuk meneruskan niat Pakcik Joni berbasikal di sekitar Bandaraya Miri, Persatuan Belia Miri telah mengadakan program Kayuh Malam Santai bersama Pakcik Joni selama 2 malam. Seramai 33 orang belia Komuniti Kayuh Malam Miri telah turut serta dalam program tersebut. Turut membantu dalam mengawal lalulintas sepanjang laluan kayuhan tersebut ialah Kelab Sukan Permotoran Geng Dua Roda Sarawak (G2RS). Kayuhan terakhir mereka di Wireless Walk Miri telah disambut meriah oleh Yang Berhormat Dato Sebastian Ting Chiew Yew, Menteri Muda Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sarawak merangkap Ahli Undangan Negeri N.73 Piasau.

Pakcik Joni, berumur 47 yang berasal dari Lawas telah lama berhijrah ke Kuching. Beliau yang hidup sebatang kara dan tiada tempat tinggal tetap di Kuching menyara kehidupan beliau dengan hanya mengutip tin kosong dan besi buruk. Walaupun keadaan hidup beliau yang daif, ianya tidak menghalang niat Pakcik Joni untuk berkayuh dari Kuching ke Miri sempena sambutan Hari Malaysia peringkat Kebangsaan tahun ini di Sibu, Sarawak. Untuk menyediakan diri beliau membuat kayuhan tersebut, Pakcik Joni berjaya membeli basikal baru dengan menggunakan duit hasil kutipan tin dan besi buruk pada 3 bulan yang lalu.

Pakcik Joni akan berada di Sibu sehingga 16 September 2020 untuk sambutan Hari Malaysia dengan harapan agar dapat bertemu dengan Ketua Menteri Sarawak pada masa itu nanti. Semangat patriotisme Pakcik Joni ini amat dikagumi oleh anak-anak muda Miri dan semangat sebegini lah yang harus ada pada setiap individu sebagai rakyat Malaysia. Semoga Pakcik Joni selamat sampai ke destinasi yang ditujui.