home button

Sarawak

BINTULU, 7 SEPTEMBER 2020 – Pengerusi Kelab Belia Kampung Baru Bintulu, Cik Siti Anak Asai bersama ahli kelab beliau telah hadir ke Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Bintulu bagi sesi penyerahan dokumen serta sijil perakuan pendaftaran kelab yang disampaikan oleh Encik Kigen Anak Satong selaku Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Bintulu.

Kelab ini mempunyai 7 orang ahli dan dimaklumkan akan bertambah dari semasa ke semasa. Antara objektif penubuhan kelab adalah untuk menganjurkan aktiviti yang dapat membina peribadi, meningkatkan kesetianegaraan dan mewujudkan kesedaran terhadap perlunya menjauhi unsur dan nilai negatif di kalangan belia khususnya di Bahagian Bintulu.

Pihak pejabat sangat mengalu-alukan belia khususnya di Bahagian Bintulu untuk menubuhkan kelab belia yang dapat membangunkan lagi potensi belia dalam aspek kepimpinan, kemahiran dan juga keusahawanan.

KOTA SAMARAHAN, 15 SEPTEMBER 2020 – Walaupun ruang pejabat yang agak sempit, warga Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan tetap bersemangat melaksanakan aktiviti senamrobik yang hanya disertai oleh 6 orang pegawai dan kakitangan pejabat.

Aktiviti senamrobik yang berlangsung selama 20 minit tersebut telah dikendalikan oleh Puan Norliati binti Li, Pembantu Belia dan Sukan yang juga instruktur senamrobik yang bertauliah.

Dalam pada itu, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, Puan Fatimah Abd Rahman menganggap aktiviti kecergasan ditempat kerja adalah salah satu cara untuk warga pejabat kekal sihat disamping dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama pegawai dan kakitangan.

Selain itu, aktiviti tersebut dilaksanakan juga bagi mempromosikan program Jom Aerofit @ JBS Bahagian Samarahan yang akan diadakan bermula Sabtu ini, 19 September bertempat di Halaman Samarahan.

MIRI, 15 SEPTEMBER 2020 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri melalui Encik Roley Anak Lagir, Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Miri mewakili Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sarawak telah menyampaikan sijil penghargaan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak 2020 kepada 2 orang calon dari Bahagian Miri.

Encik Robson Jok Laeng dan Encik Chia Kah Furg merupakan calon untuk kategori lelaki  Anugerah Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak 2020 yang telah dinilai secara virtual pada 27 Julai yang lalu.  Penyerahan sijil ini adalah untuk menghargai penglibatan calon-calon ini dalam program-program belia dan meneruskan penglibatan dalam pembangunan belia.

MIRI, 15 SEPTEMBER 2020 – Persatuan Gusti Lengan Miri telah mengadakan Kejohanan Gusti Lengan Tertutup pada 13 September 2020 bertempat di Zong Ho Fight Club, Miri.

Seramai 30 orang peserta untuk kategori lelaki dan wanita mengikut berat yang dipertandingkan berada di Zong Ho Fight Club seawal jam 10.30 pagi dan berakhir pada jam 5.00 petang.   

Kejohanan tersebut diadakan adalah untuk mencari bakat baru atlit gusti lengan yang akan diasah untuk mewakili bahagian Miri ke Kejohanan Gusti Lengan Peringkat Negeri Sarawak 2020 yang akan diadakan pada 26 September 2020 di Kuching, Sarawak.

Encik Matthew Dominic Barin, Pengerusi Persatuan Gusti Lengan Sarawak (SASA) hadir sebagai pengadil jemputan ke Kejohanan Gusti Lengan Tertutup Bahagian Miri. Turut dijemput untuk menyaksikan kejohanan tersebut ialah En. Roley Anak Lagir, Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Miri dan Cik Norafizahwati binti Banting, Pegawai Unit Pembangunan Sukan PBSB Miri.