IPOH, 23 JUN 2020- Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Majlis Keselamatan Negara Negeri Perak (MKN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam membantu melaksanakan pemantauan pematuhan SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Tujuan pemantauan ini dilaksanakan adalah untuk memastikan pematuhan SOP oleh masyarakat khususnya pemilik premis perniagaan termasuklah premis kemudahan sukan. Inisiatif ini juga merupakan salah satu usaha untuk mewujudkan public engagement di antara agensi kerajaan dan pihak industri ke arah meningkatkan kesedaran dan pemahaman berkaitan pematuhan SOP yang ditetapkan MKN. Semoga usaha ini akan membantu mencegah penularan wabak Covid-19 di samping menjamin keselamatan dan kesihatan semua masyarakat. Pihak KBS sangat berharap agar semua pihak dapat memahami kepentingan pematuhan SOP ini dan pada masa yang sama bukan menjadi penghalang untuk masyarakat kekal sihat dan cergas.