LANGKAP, 09 JANUARI 2021 (Sabtu) – Menyedari keperluan mendesak bagi membantu mangsa bencana banjir di Daerah Hilir Perak, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk menggerakkan Sukarelawan Rakan Muda dengan dibantu oleh pertubuhan-pertubuhan belia, persatuan sukan dan pertubuhan bukan Kerajaan di daerah ini dan Bagan Datuk bagi Misi Pasca Banjir di kawasan Chikus, Langkap pada 9 Januari 2021.

 

Misi ini berjaya mengumpulkan seramai lebih lapan puluh (80) orang sukarelawan terdiri dari belia berumur 18-35 tahun dari Kelab Belia Generasi Pekan, Persatuan Ragbi Daerah Hilir Perak, Kelab Rakan Muda Hilir Perak, Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Hilir Perak, Gerakan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Teluk Intan dan Bagan Datuk serta individu/ penduduk sekitar kawasan Chikus, Langkap.

 

Program yang bermula pada jam 9.00 pagi ini turut melibatkan kerja-kerja pembersihan 15 buah rumah, SRA Rakyat Chikus serta Dewan Orang Ramai Chikus dan berakhir sekitar jam 1.30 petang.

 

Disamping itu, misi kali ini turut mendapat sumbangan berbentuk pakaian terpakai, makanan harian dan alatan pembersihan dari pelbagai pihak. Majlis Penyerahan Kit Bantuan Bencana JBS Negeri Perak disempurnakan oleh YBrs Tuan Haji Soufi bin Ibrahim, Pengarah JBS Perak kepada Penghulu Mukim Sg Manik, Encik Ainal bin Ghani mewakili penduduk Chikus yang terjejas sambil disaksikan  YB Dato'Haji Haji Zainol Fadzi bin Paharudin, ADUN Sg. Manik. 

 

Selain itu juga, kehadiran YM Raja Muda Perak, DYTM Tuanku Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa telah turut mencemar duli bagi mendengar taklimat berkenaan kawasan yang terjejas banjir yang telah disampaikan oleh YB ADUN Sg. Manik bertempat di Pejabat Penghulu Mukim.

 

Disediakan oleh : Pejabat Belia dan Sukan Daerah Hilir Perak