ASAHAN, 13 Mei 2020 - Belum pun sampai seminggu para ahli Persatuan Belia (MAYC) Simpang Bekoh meletakkan cangkul selepas bergotong royong menguruskan pengebumian penduduk kampung, petang ini mereka sekali lagi memegang cangkul bergotong royong menyediakan liang lahad selepas dimaklumkan mengenai kematian seorang lagi penduduk. Petang tadi seramai 15 orang ahli Persatuan Belia (MAYC) Simpang Bekoh membantu menguruskan majlis pengebumian Allahyarhamah Nazimah Tarmedi, 38 dengan gerak kerja menyediakan liang lahad, papan lahad dan kayu daka nisan dimulakan pada jam 6.00 petang di Tanah Perkuburan Islam Tambak Mangga dekat sini dan berakhir sekitar jam 11.00 malam apabila jenazah selamat disemadikan. Pengerusinya, Asrul Khan Sher Jang Khan ketika dihubungi merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli yang terlibat dalam membantu urusan pengebumian tersebut dan berbangga kerana anak-anak muda di kampung ini sentiasa ke hadapan menghulur bantuan kepada masyarakat setempat tanpa mengira masa dan tenaga.