MERLIMAU, 29 Disember 2021 - Monsun Timur Laut yang melanda negara tidak hanya memberi kesan di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan negeri-negeri di pantai timur malah turut memberi kesan kepada beberapa kawasan di negeri Melaka antaranya daerah Jasin dan Alor Gajah.Di Jasin, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu, Sungai Rambai sejak 19 Disember 2021 dengan menempatkan sebanyak 14 keluarga dari 3 buah kampung iaitu Kampung Parit Penghulu Benteng dan Kampung Tersusun, Sungai Rambai serta Kampung Lanchang, Merlimau.Rentetan daripada itu, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Jasin, SWCorp Cawangan Jasin, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Jasin, Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin dan Persatuan Belia (MAYC) Lanchang hari ini telah bergerak bersama-sama Skuad Sukarelawan Pasca Banjir Rakan Muda Daerah Jasin dengan menjalankan gerak kerja gotong-royong membersihkan kediaman para mangsa yang terjejas.Turut menyertai aktiviti tersebut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Melaka, Balai Polis Merlimau, Majlis Gabungan Belia Melaka, Mercy Malaysia dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lanchang.Dalam aktiviti tersebut, Pengarah APM Negeri Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra dan Pengarah JBPM Negeri Melaka, Abu Bakar Katain turut sama 'menyental' kediaman mangsa banjir bersama para sukarelawan sekali gus mempamerkan jiwa murni mereka sebagai pemimpin organisasi penyelamat ulung negara yang tidak meletakkan pangkat sebagai halangan untuk turun padang.Sementara itu, seorang penduduk Amran Ab Gani, 44, berkata keadaan banjir yang melanda kawasan rumah mereka pada kali ini agak lama disebabkan banjir termenung itu dan sehingga kini beliau sekeluarga masih lagi berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu sejak 19 Disember 2021."Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada para sukarelawan dan agensi yang hadir membantu membersihkan rumah kami. Tanpa bantuan para sukarelawan ini, mungkin kerja-kerja mencuci dan membersih akan mengambil masa yang lama memandangkan keadaan isteri yang tidak sihat selepas terjatuh baru-baru ini," katanya.Menurut Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Nurul Haida Mohd Ghazali, beliau amat berterima kasih kepada semua sukarelawan yang mengambil bahagian pada hari ini dan mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan agensi kerajaan peringkat negeri dan daerah serta NGO yang turut sama mengambil bahagian dalam program anjuran pejabatnya dan berharap agar kerjasama yang erat ini akan kekal berterusan di masa yang akan datang.