JASIN, 10 Mac 2020 - Sijil Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda yang diketahui umum memberi nilai tambah kepada markah kokurikulum pelajar semakin mendapat perhatian daripada pihak sekolah dan ini dapat dilihat melalui peningkatan bilangan sekolah yang mengambil bahagian dari masa ke semasa.

Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) merupakan pengiktirafan oleh kerajaan atas penglibatan remaja Malaysia yang berumur antara 14 hingga 25 tahun dalam bidang-bidang yang menyumbang kepada proses pembangunan potensi diri mereka melalui pendekatan lapan (8) Gaya Hidup Rakan Muda.

Petang tadi, berlangsung penyerahan Borang Pendaftaran Tahap Gangsa oleh guru SMK Iskandar Shah, Norhasni Marjono yang juga pemimpin ARPRM kepada Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Ahmad Iswadi Ishak.

Norhasni yang baru bertukar ke SMK Iskandar Shah mengambil peluang menarik perhatian pelajar untuk menyertai program di bawah anugerah ini.