MERLIMAU, 17 Mei 2020 - Ramadan yang berbaki seminggu lagi dan semakin beransur pergi terus dimanfaatkan oleh Persatuan Belia (MAYC) Wawasan Serkam Pantai dengan menganjurkan program gotong-royong membersihkan tanah perkuburan di kawasan Masjid Jamek Serkam dekat sini petang tadi. Seramai 20 orang ahli mengambil bahagian menjayakan program tersebut yang dilakukan atas inisiatif untuk menerapkan nilai murni, rasa insaf dan takwa di kalangan ahli kerana tanah perkuburan adalah destinasi terakhir semua insan di samping menghidupkan lagi semarak Ramadan melalui kerja amal tersebut. Program di bawah kelolaan Ketua Biro Masyarakat, Muhammad Asraf Ahmad Fuad ini membuktikan bahawa anak muda khususnya belia di kampung ini sentiasa mengambil berat dan memberi perhatian kepada persekitaran kampung dan kawasan setempat serta sentiasa bersedia untuk mencurah bakti demi kesejahteraan masyarakat.