LUBOK CINA, Masjid Tanah, 24 Disember – Melaka antara negeri yang turut terkesan dengan bencana banjir besar baru-baru ini. Pejabat Belia dan Sukan Daerah Alor Gajah telah mengumpulkan seramai 65 orang sukarelawan dari kalangan Majlis Gabungan Belia Melaka, Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah, Sekretariat Rakan Muda KUIM, GPMS Alor Gajah, Pertubuhan Belia Alumni Graduan Alor Gajah dan sebagainya. Program ini juga turut dibantu oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah dan SWCorp iaitu bagi kerja-kerja mengangkut sampah yang telah dibersihkan. Sebanyak 4 buah rumah mangsa banjir terlibat dalam program pasca ini yang mana kerja-kerja pembersihan bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 3.00 petang. Pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka juga telah turun padang bagi membantu membersihkan rumah penduduk setempat yang terkesan dengan banjir tersebut. Semoga usaha para sukarelawan ini dapat membantu sedikit sebanyak penduduk yang terkesan dan boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa.