DURIAN TUNGGAL, 4 Mei – Pejabat JAPERUN DUN Durian Tunggal melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Alor Gajah telah menganjurkan Program One Stop Help Centre Peringkat DUN Durian Tunggal yang bertempat di Kompleks JAPERUN DUN Durian Tunggal. Program yang melibatkan kira-kira 10 buah agensi kerajaan dan swasta sekitar Daerah Alor Gajah dan juga Negeri Melaka ini bertujuan untuk memberikan perkhidmatan secara terus dan berkelompok kepada orang ramai khususnya penduduk-penduduk sekitar DUN Durian Tunggal. Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Melaka bersama Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Alor Gajah turut tidak ketinggalan dalam menyertai program ini bagi mempromosikan program-program dan peranan Jabatan ini dalam membangunkan belia dan juga sukan setempat. Sebagai tambahan, peluang ini digunakan juga untuk mempromosikan produk Kerajaan Negeri Melaka khusus kepada golongan belia iaitu Rumah Belia Melaka. Turut hadir memeriahkan program ini ialah YB Datuk Mohd Sofi Bin Abdul Wahab, EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Negeri Melaka merangkap ADUN Durian Tunggal.