MERLIMAU, 16 Mei 2020 - Persatuan Belia (MAYC) Mutiara Sejati Pulai Barat bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Jasin dan Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Jasin hari ini telah menganjurkan program memasak dan mengagihkan bubur lambuk di hadapan Madrasah Hj Abdul Ghani, Kg Pulai Barat yang telah disertai lebih 10 orang belia dan Orang Kena Pengawasan (OKP). Menurut Pengerusi Persatuan Belia (MAYC) Mutiara Sejati Pulai Barat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Jasin, Azni Ahmad, program memasak bubur lambuk secara gotong royong tersebut telah bermula seawal jam 8.00 pagi dan berjaya menghasilkan hampir 100 pek bubur seterusnya diedarkan kepada penduduk setempat serta pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut. Acara mengagih bubur lambuk telah diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah AADK Melaka, A. Reuben. Hadir sama adalah Ketua Pegawai AADK Daerah Jasin, Siti Aminah Talib; Ketua Pemuda Jasin, Dr. Akmal Saleh dan Naib Ketua Pemuda Jasin, Muhammad Farouq Mustafa.