ASAHAN, Melaka 21 November 2019 – Permasalahan sosial merupakan unsur negatif atau elemen yang merosakkan dalam kalangan masyarakat sesebuah negara. Masalah sosial ini boleh menyebabkan keruntuhan akhlak, moral dan etika antaranya masalah penyalahgunaan dadah, vandalisme, lari dari rumah, pelacuran, pergaulan bebas, ketagihan arak, merempit dan sebagainya.  

Melihat kepada permasalahan tersebut, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Jasin telah mengadakan Program Anak Muda Wawasan Lestari (AMWAL) Peringkat Daerah Jasin pada 19 November 2019 dan berakhir pada hari ini dengan penyertaan seramai 40 orang belia yang dikategorikan sebagai belia berisiko.

Program yang dilaksanakan di Kompleks MSN Saujana Asahan, Melaka ini digarap dengan beberapa elemen yang mantap melibatkan aktiviti lawatan sambal belajar ke Muzium Penjara Malaysia, aktiviti khidmat masyarakat, latihan dalam kumpulan, taklimat pendedahan kepada latihan kemahiran Giat MARA serta taklimat pendedahan kepada pertubuhan belia setempat.

Majlis Perasmian Penutup AMWAL Daerah Jasin telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Noorman Ramlan. Hadir sama Penolong PPD Sektor Pengurusan Sekolah, Khalid Hj. Mohd dan Pengurus MSN Saujana Asahan, Mohd Nizam Abu Talib.