SELANDAR, 23 Februari 2020 - Perhimpunan Pengakap Daerah Jasin Alaf Baru 2020 pada kali ini mendapat sambutan penyertaan diluar jangkaan kerana lebih 250 orang peserta mengambil bahagian sekaligus menjadi program pembuka tahun 2020 paling bermakna.

Perhimpunan yang bermula pada 21 Februari 2020 dan berakhir pada hari ini di SK Batang Melaka dekat sini membuktikan bahawa aktiviti berpengakap ini masih menjadi pilihan para pelajar khususnya golongan belia untuk meneroka potensi diri melalui ilmu dan kemahiran di luar bilik darjah sekaligus membuktikan Pergerakan Pengakap ini kekal relevan walaupun di era pemodenan zaman.

Perhimpunan ini juga turut menyaksikan seramai 50 orang peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda di bawah Badan Operasi Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin melaksanakan aktiviti sekaligus melengkapkan komponen penjelajahan lasak.

Majlis perasmian penutup pada pagi ini telah disempurnakan oleh Pengerusi MPKK Batang Melaka, Johari Adam. Hadir sama Pesuruhjaya Pengakap Daerah Jasin, Helmy Mustafa dan Pengetua SK Batang Melaka, Siti Nurshamshatulnahar Anuar.