MERLIMAU, 1 Mei 2020 - Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Jasin hari ini bergerak menyampaikan bantuan kepada 30 keluarga yang terjejas dan terkesan di sekitar Merlimau akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang kini telah memasuki fasa ke-4 sejak ia mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020 yang lalu bagi mengekang penularan wabak Covid-19, suatu pandemik yang menjangkiti manusia di seluruh dunia. Ini bertepatan dengan maksud persatuan itu sendiri di dalam Seksyen 11, Perlembagaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia yang antaranya menerangkan bahawa persatuan ini adalah satu organisasi yang tetap dan aktif untuk melegakan kesakitan, penderitaan atau tekanan terutama mangsa konflik bersenjata, bencana atau lain-lain kecemasan tanpa mengira warganegara, bangsa, kelas, jantina, keturunan atau pendapat politik, organisasi sebagaimana disebut mampu untuk memobilasi dan berkembang dengan efektif untuk memenuhi keperluan konflik bersenjata, bencana dan lain-lain kecemasan. Pengerusinya, Jezlee Pit berkata, barangan berbentuk kit keperluan harian yang disampaikan tersebut adalah sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Merlimau, Datuk Roslan Ahmad dan daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Melaka dengan pihaknya bergerak membuat agihan kepada mereka yang memerlukan.