MELAKA, 22 Mac 2022 - Mesyuarat Jawatankuasa Pengesahan Pemenang Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 yang diadakan pagi tadi di Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka telah mengesahkan nama peserta dan persatuan belia yang berjaya untuk dinobatkan sebagai johan dan naib johan APBN Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 mengikut kategori yang dipertandingkan.
 
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Melaka, Yang Berhormat Tuan VP Shanmugam tersebut turut mendengar ulasan para panel penilai sebelum menetapkan pemenang.
 
Sesi Penilaian APBN Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 telah berlangsung pada 19 Mac 2022 dengan 5 orang calon bagi Kategori Individu Lelaki dan 2 orang calon bagi Kategori Individu Wanita telah melalui sesi penilaian yang diadakan di Bilik Mesyuarat JBS Negeri Melaka manakala 3 persatuan belia yang mengambil bahagian bagi Kategori Pertubuhan Belia telah dinilai melalui lawatan para panel penilai di pusat gerakan belia masing-masing juga pada hari yang sama.
 
Antara barisan panel penilai bagi Kategori Individu Lelaki dan Individu Wanita adalah, Pengarah Pusat Sumber dan Teknologi Pengajaran UTEM, Dr. Zulisman Maksom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Shadan Othman dan Pegawai Unit Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Naziah Ramli manakala bagi Kategori Pertubuhan Belia terdiri daripada Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi UTEM, Ts. Syariffanor Hisham; Ahli Majlis MBMB, Abd Razak Abu dan Pesuruhjaya Struktur dan Pengurusan Lembaga Eksekutif Pandu Puteri Malaysia, M. Vijayaletchumi.
 
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut, Pengarah JBS Negeri Melaka, Khairul Adri Dato' Rosli dan Timbalan Pengarah JBS Negeri Melaka, Muhammad Abdul Hafidz Mohd Amin.
 
Dengan terpilihnya para pemenang, Melaka kini bersedia untuk berentap dalam APBN Peringkat Kebangsaan Tahun 2022.