MERLIMAU, 23 Januari 2022 - Usaha membangunkan potensi belia bukanlah suatu usaha yang mudah sebaliknya memerlukan perancangan, kaedah dan masa yang sesuai serta berpanjangan dari masa ke semasa melalui makmal pembangunan belia yang global dan glokal di samping menuntut kesabaran, ketekunan dan keikhlasan.Dalam memastikan kesiapsiagaan para pelapis yang bakal mengemudi persatuan belia di negeri Melaka selaras dengan penguatkuasaan had umur belia di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668), Gerakan Belia 4B Malaysia Cawangan Solok Kilang Berapi telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Organisasi Peringkat Negeri Melaka 2022.Kursus sehari yang diadakan di Seri Chendana Resort dekat sini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin, Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin dan Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Jasin melibatkan penyertaan seramai 40 orang peserta dari pelbagai persatuan belia di negeri Melaka .Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Melaka, Tuan VP. Shanmugam V. Pitchay dan turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Melaka, Noorman Ramlan; Timbalan Pengarah JBSN Melaka,  Muhammad Abdul Hafidz Mohd Amin; Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Nurul Haida Mohd Ghazali; Penolong Bendahari Majlis Gabungan Belia Melaka, Muhammad Firdaus Abdul Razak dan Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin, Zaini Muhamad.