Krubong, 20 Mac 2022 – Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Melaka Tengah dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Negeri Melaka telah menganjurkan Kejohanan Bola Jaring MSL 2022 Peringkat Daerah Melaka Tengah bertempat di Kompleks Sukan Komuniti Krubong, Melaka. Kejohanan tersebut telah mendapat sambutan penyertaan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat serta Komuniti yang terdiri daripada pelajar sekolah, IPT, agensi kerajaan dan swasta, kelab komuniti dan sebagainya.

YBhg.Datuk Haryaty Hamdzah, Pengerusi Bola Jaring Negeri Melaka telah sudi hadir menyantuni peserta yang mengambil bahagian sekali gus telah menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Bola Jaring MSL 2022 Peringkat Daerah Melaka Tengah. Kejohanan ini telah mendapat sokongan daripada pelbagai agensi Kerajaan Negeri khususnya daripada agensi di bawah pentadbiran Daerah Melaka Tengah. Tujuan utama penganjuran Kejohanan ini adalah bertujuan untuk menggalakkan masyarakat bersukan dan memberi peluang bakat baru diperingkat akar umbi untuk menyerlahkan bakat.

Pasukan Melaka Junior telah merangkul Johan di peringkat Daerah Melaka dan membawa pulang hadiah wang tunai RM 1,000.00 beserta medal. Pasukan Melaka Junior akan mewakili Daerah Melaka Tengah pada Kejohanan Bola Jaring Peringkat Negeri Melaka yang akan berlangsung pada bulan Julai ini.

Syabas diucapkan kepada para pemenang dan sekalung penghargaan serta terima kasih kepada semua pihak yang bersama menjayakan kejohanan ini.