iTALENT 01

KRUBONG, 31 Mei 2022 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka (JBSNM) melalui Unit Pembangunan Sukan OKU, Bahagian Pembangunan Sukan telah menganjurkan Program Inspire iTalent Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 bertempat di Kompleks Sukan Komuniti Krubong dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Persatuan Sukan Orang Kurang Upaya Negeri Melaka (PESRON).
*
Seramai tiga puluh lima (35) orang peserta telah hadir dan mengambil bahagian dalam setiap komponen ujian yang dilaksanakan. Antara pengisian program ini adalah Ujian Antropometri, Ujian Asas Keupayaan Sukan dan Mari Mencuba Sukan Olahraga serta Badminton. Program ini diwujudkan sebagai platform untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat-bakat baharu dalam golongan OKU untuk diketengahkan sebagai pelapis atlet para Negeri Melaka khususnya dan negara amnya.
*
Majlis penutup Program Inspire iTalent Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah (Sukan), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka; Mohd Syaiful Fahmi Mohd Salleh yang mewakili Pengarah JBS Melaka. Turut hadir, Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka; Tn. Hj. Nazri bin Abdul Latip dan Presiden, Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Melaka; Abdul Rahim bin Abdul Kadir.
*
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Persatuan Sukan Orang Kurang Upaya Negeri Melaka (PESRON), Penggerak Sukan Para Olahraga dan Badminton serta ibu bapa yang memberikan sokongan dalam menjayakan program ini. Diharap menerusi Program Inspire iTalent ini, pembangunan sukan OKU di peringkat negeri dapat dilaksanakan secara konsisten agar negara dan negeri Melaka khususnya tidak ketandusan atlet yang bakal jadi pengganti untuk bersaing di peringkat tertinggi.

#BAHAGIANSUKAN