Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda adalah sebuah program pengiktirafan oleh pihak Kerajaan yang bertaraf antarabangsa. Program ini terbuka kepada semua remaja berumur 14 hingga 25 tahun tanpa mengira agama, jantina, bangsa, ketidakupayaan fizikal mahupun fahaman politik. Program ini telah diperkenalkan pada tahun 1956 di United Kingdom dengan nama The Duke of Edinburgh’s Award.

Kini Program ini lebih dikenali dengan nama the International Award for Young People dan telah dilaksanakan di 132 buah Negara dengan penyertaan lebih tujuh (7) juta belia remaja di seluruh dunia. Penyertaan remaja adalah berdasarkan semangat sukarela bagi menghadapi cabaran dalam menempuhi kedewasaan seperti Penerokaan Potensi Diri, Kemahiran Hidup, Kesungguhan, Tanggungjawab dan Khidmat Masyarakat.

Program ini beroperasi melalui Badan Berkuasa Anugerah Kebangsaan (NAA) iaitu Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara dimana ianya telah diberi mandat oleh The Duke of Edinburgh/s award International Association pada 6 November 2000 untuk melaksanakan program ini di Malaysia. Mana-mana institusi, agensi atau persatuan yang bergiat aktif dalam aktiviti pembangunan belia remaja boleh memohon untuk melaksanakan program ini sebagai Badan Operasi.

Terdapat tiga (3) tahap anugerah yang boleh disertai iaitu Tahap Gangsa (14 tahun dan ke atas), Tahap Perak (15 tahun dan ke atas) dan Tahap Emas (16 tahun dan ke atas). Peserta perlu melengkapkan empat (4) komponen yang wajib bagi melayakkan mereka untuk menerima anugerah pada tahap yang disertai. Komponen yang perlu dilengkapkan adalah Khidmat Masyarakat, Kemahiran, Rekreasi Fizikal dan Penjelajahan Lasak. Sebagai tambahan, peserta pada Tahap Emas hendaklah melaksanakan Projek Penempatan.

Di Negeri Melaka terdapat 5 Badan Operasi yang bergerak aktif dalam membantu dan memastikan para peserta dapat melengkapkan setiap Tahap dengan jayanya. Badan Operasi yang terdapat di Negeri Melaka serta di bawah pantauan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka adalah Badan Operasi Pejabat Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Alor Gajah, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin, Kolej Yayasan Saad Melaka serta Pertubuhan Gandingan Bersatu Malaysia Negeri Melaka. Sekolah Henry Gurney Telok Mas Melaka juga merupakan salah satu Institusi yang bergiat aktif dalam melaksanakan program ini di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka.