BUKIT SERINDIT, 12 Jun 2022 - Taman Rekreasi Bukit Serindit, Melaka sekali lagi menjadi pilihan Program Let’s Get Fit kerana lokasi ini yang strategik dan tidak pernah lekang dengan kunjungan para pengunjung yang bukan sahaja di kalangan penduduk setempat tetapi juga dari luar.
*
Pelbagai aktiviti sihat yang dilihat dilakukan para pengunjung yang berkunjung ke Taman Rekreasi Awam tersebut, antaranya berjalan kaki, berlari, berbasikal, bermain sepak raga bulatan dan ada juga yang bermain kasut roda. Semua aktiviti-aktiviti ini dilakukan bersama keluarga, rakan-rakan, komuniti setempat dan tidak kurang juga yang melakukannya secara sendirian. Menariknya, semua aktiviti-aktiviti yang disebutkan tadi kelihatan agak tenggelam dek kerancakan dan keriuhan bunyi muzik yang dimainkan oleh Team AROFIT dalam meneruskan aktiviti senamrobik bersempena Program Let’s Get Fit Negeri Melaka Siri yang keenam (6) pada kali ini.
*
Sesi Senamrobik yang bermula tepat jam 5.30 petang ini dibimbing oleh Instruktor Sha, yang lebih kepada berentak genre ‘COMBATIVE’ dalam pergerakan yang lebih aggresif dan berintensiti tinggi. Seramai hampir 66 orang peserta yang berdaftar dan juga yang hadir secara ‘walk in’ dari pelbagai latar belakang telah mengambil bahagian dan kelihatan bersemangat dalam mengikuti setiap gerak langkah yang ditunjukkan. Untuk makluman, Let’s Get Fit Peringkat Negeri Melaka 2022 akan dilangsungkan sebanyak sepuluh (10) siri di lokasi yang berbeza di seluruh Negeri Melaka. Ada empat (4) siri lagi yang akan dilangsungkan bagi menggalakkan aktiviti bersenam yang lebih bersistematik kepada komuniti setempat. Ayuh jangan ketinggalan untuk mendaftarkan diri anda dilokasi yang telah ditetapkan.

#BAHAGIANSUKAN