JASIN, 17 Januari 2020 - Seni budaya kompang yang masyhur di kalangan bangsa Melayu sejak zaman ke zaman semakin hari semakin pupus dan sekiranya tidak dipelihara dikhuatiri akan hilang ditelan arus kemodenan dan perubahan zaman.

Justeru atas kesedaran tersebut, Gerakan Belia 4B Solok Kilang Berapi telah mengambil inisiatif untuk memelihara seni budaya ini dengan menerapkan kemahiran bermain kompang kepada para belia di kawasan ini melalui kelas kompang yang diadakan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu mulai jam 9 hingga 11 malam.

Kelas yang diadakan di Rumah Belia Solok Kilang Berapi ini telah disertai seramai 20 orang belia dan dilatih oleh Md Yusuf Bin Muhamad dan Lokman Jamaludian yang juga merupakan ahli jawatankuasa 4B Solok Kilang Berapi. 

Untuk info, kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat Melayu. Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang yang berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim atau melalui Jawa pada abad ke-13 oleh pedagang Arab.