JASIN, 10 Mei 2020 - Untuk dikenali sebagai organisasi kemanusiaan yang unggul di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta berkhidmat kepada yang memerlukan dengan berkesan, visi dan misi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia ini diterjemah melalui tindakan dan gerak kerja lapangan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Jasin yang setiasa dilihat penampilannya tidak kira ketika waktu susah atau senang. Bertempat di Kompleks Japerun Rim hari ini, Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Jasin bersama Puteri dan Wanita UMNO serta kakitangan Japerun Rim telah menganjurkan Program Memasak Bubur Lambuk dan Bubur Pulut Hitam Durian Musang King untuk diedarkan kepada cawangan-cawangan UMNO di dalam DUN Rim. Dalam masa yang sama, persatuan ini turut mengadakan promosi pengambilan ahli bagi memperkasa tenaga sukarelawannya. Program yang dirasmikan oleh ADUN Rim, Datuk Wira Haji Ghazale Muhamad ini telah berjaya menyediakan sebanyak 400 pek bubur dalam gerak kerja gotong royong yang sentiasa menjadi amalan persatuan ini terutama ketika menjalankan gerak kerja kebajikan di waktu bencana. Turut hadir memeriahkan program, ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman; Ketua Puteri Bahagian Jasin, Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jasin, Shahrul Azuwar Ab Aziz dan Pengerusi BSMM Cawangan Jasin, Jezlee Pit.