MERLIMAU, 3 Mei 2020 - Bubur lambuk sememangnya sinonim dengan bulan Ramadan Al-Mubarak. Menyedari hakikat tersebut, Gerakan Belia 4B (M) Cawangan Solok Kilang Berapi mengambil kesempatan mengadakan Projek Ekonomi Bubur Lambuk dengan matlamat untuk menjana pendapatan bagi mengisi tabung persatuan di samping mengeratkan lagi hubungan serta kerjasama di kalangan ahli. Bertempat di Rumah Belia Solok Kilang Berapi dekat sini, program yang bermula semalam telah berjaya menyediakan lebih 500 bungkus bubur lambuk manakala pada hari ini sebanyak 900 bungkus telah disediakan secara gotong royong oleh ahli persatuan yang bermula dari jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 5.00 petang. Pengerusinya, Zaini Muhamad berkata permintaan terhadap bubur lambuk yang merupakan juadah istimewa di bulan Ramadan sangat tinggi apatah lagi dengan kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan menjadikan aktiviti memasak bubur ini tidak dapat dilaksanakan seperti kebiasaan justeru pihaknya melalui Biro Korporat mengambil tempahan daripada pihak-pihak yang berminat dengan harga yang berpatutan dan projek ini akan diteruskan pada setiap hujung minggu sepanjang bulan Ramadan.