JASIN, 7 Mei 2020 - Ramadan merupakan bulan mulia yang sangat ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia kerana bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Selain berpuasa, banyak amalan sunnah Ramadan yang dapat menghidupkan lagi keimanan seorang hamba khususnya umat Islam dan bertitik tolak daripada ini maka Gerakan Belia 4B Kg Abbey melalui biro keseniannya atau lebih dikenali sebagai Pancha Warisan telah mengadakan program Tazkirah Indahnya Ramadan. Siri Tazkirah Indahnya Ramadan merupakan program siaran atas talian di platform Page FB Jasin Daily yang dibawa terus dari studio FB Live milik Majlis Perbandaran Jasin dianjurkan secara bersama dengan Pejabat Agama Islam Daerah Jasin, Masjid Al-Ghaffar Jasin, Pejabat Parlimen Jasin dan Jasin Daily selaku pengendali utama siaran. Program yang bermula sejak awal Ramadan bersiaran dari hari Isnin hingga Sabtu selama sejam mulai jam 2.00 petang bertujuan sebagai medan pengisian ilmu secara atas talian bagi memenuhi ruang sepanjang Ramadan dengan membicarakan intipati yang menjurus kepada hal-hal berkaitan puasa, adab dan ibadah serta diolah secara santai oleh barisan pendakwah tempatan antaranya Ustaz Norazam Ismail, Ustaz Huzailan Hamzah, Ustaz Abd Manap Mohamad, Ustaz Hashimi Rafzanjani dan Ustaz Mohd Nizam Ahmad. Petang ini, sesi tazkirah yang bersiaran telah dikendalikan oleh Deejay, Nasaruddin Rahmat bersama pembantunya Ketua Belia 4B Nyalas, Shahril Samzainal manakala pendakwah bertugas adalah Ustaz Abd Manap Mohamad.