SERKAM, 3 Mei 2020 - Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan mulai 18 Mac 2020 merupakan langkah terbaik yang diambil oleh kerajaan dalam mendepani bencana wabak Covid-19 yang bukan hanya menular di negara kita tetapi juga merebak ke seluruh dunia dan memberi kesan kepada hampir semua sistem kehidupan manusia. Dalam tempoh pelaksanaan PKP yang kini memasuki fasa ke-4, kerajaan juga telah mengumumkan pelbagai pelan bantuan bagi meringankan beban semua pihak namun kerjasama pelbagai pihak di peringkat komuniti juga amat diharapkan dalam usaha memastikan tiada seorang pun yang terpinggir daripada menerima bantuan. Persatuan Belia (MAYC) Wawasan Serkam Pantai hari ini telah menggerakkan ahlinya seramai 15 orang dalam Program Bantuan Covid 19 Bulan Ramadan dengan menyampaikan bantuan serta sumbangan keperluan harian kepada 50 keluarga daripada kalangan penduduk Kampung Serkam Pantai yang terkesan dengan pelaksanaan PKP. Antara penggerak utama program tersebut adalah Pengerusi Persatuan Belia (MAYC) Wawasan Serkam Pantai, Mohd Shahrizan Mohd Saat bersama penaja serta penyumbang barang-barang bantuan iaitu MH Enterprise dan NSL Delima Niaga. Usaha murni ini juga turut mendapat perhatian individu-individu tempatan yang turut memberikan sumbangan. Melalui program-program seperti ini, kewujudan persatuan belia akan sentiasa dirasai malah boleh dijadikan sandaran oleh masyarakat setempat dalam apa jua keadaan demi kebaikan dan kesejahteraan komuniti.