SHAH ALAM, 18 MAC 2022 - Malaysia Sports League (MSL) merupakan sebuah inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dianjurkan menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan hasrat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat ke arah pemerkasaan sukan untuk semua. Di samping itu, MSL juga diyakini memberi sinergi pencarian bakat baharu menerusi penganjuran kejohanan sukan di peringkat akar umbi dan komuniti.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu, MSL merupakan sebuah anjakan paradigma baharu di dalam membudayakan sukan menerusi penglibatan terus masyarakat seterusnya menyokong usaha memperkasakan komuniti yang mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.

“MSL juga merupakan structured program yang dilaksanakan secara berperingkat bermula di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan yang menyasarkan seramai 133,000 orang penyertaan di seluruh negara di mana akan bermula pada 19 Mac sehingga Ogos 2022,” ujar beliau.

MSL kali ini akan mempertandingkan acara-acara sukan seperti futsal, bola jaring, bola keranjang, badminton dan sepak takraw di mana penganjurannya akan memberikan impak kepada komuniti menerusi limpahan manfaat yang signifikan.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu di Kompleks Sukan Shah Alam (Panasonic), Selangor. Dalam majlis yang sama turut diserahkan waran peruntukan bagi program-program di peringkat akar umbi kepada Pengarah-pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

Turut hadir Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Jana Santhiran Muniayan; Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib; Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad serta pengurusan tertinggi KBS dan JBSN.

Lebih manis, majlis turut diserikan dengan perlawanan badminton persahabatan di antara pasukan KBS dan legenda negara diketuai Rashid Sidek dan pemenang emas Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou.

Manakala perlawanan bola sepak persahabatan pula menampilkan pasukan HomeBois yang dibarisi pemain sukan elektronik terkenal tanah air antaranya "Soloz", "XK Penjahat", "Daddy Hood", dan ramai lagi menentang Team KBS.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan borang penyertaan MSL dengan mengunjungi Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBS Negeri) atau Pejabat Belia dan Sukan Daerah/ Bahagian/ Kawasan yang berhampiran. Selain itu, maklumat lanjut MSL, JBS Negeri dan PBSD/ B/ K boleh diakses melalui portal www.jbsn.gov.my.

Ditulis oleh: Media JBSN