PUTRAJAYA, 17 MEI 2022 - Bagi memberikan penerangan yang jelas mengenai SOP Sektor Sukan dan Rekreasi di bawah Fasa Peralihan ke Endemik, JBSN menganjurkan "town hall" bersama warga kerja dan pemegang taruh belia dan sukan.

Program dianjurkan di Aras 13, Menara KBS yang turut menghimpunkan semua Bahagian di bawah JBSN merangkumi Bahagian Pembangunan Belia (BPB), Bahagian Pembangunan Sukan (BPS), Bahagian Pembangunan Rakan Muda (BPRM) dan Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan Sokongan (P&K).

Menurut Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad, program ini dianjurkan bagi memberikan penerangan khas kepada semua warga kerja di bawah JBSN.

"Penerangan yang disampaikan wakil Sekretariat iaitu Encik Nor Azli Mohamad Daud diharapkan memberikan pencerahan kepada semua yang hadir seterusnya disebar luaskan kepada semua pemegang taruh," ujar beliau.

Turut berlangsung Jamuan Aidilfitri JBSN kepada warga kerja yang turut diserikan dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Faizal Dato' Azumu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KBS, Dato' Jana Santhiran Muniayan dan pengurusan kanan KBS.

Ditulis oleh: Menara KBS