PUTRAJAYA, 30 MAC 2022 - Inisiatif “Fit Forever” yang digerakkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) melibatkan pengisian acara berbasikal dan larian santai di peringkat komuniti akan dianjurkan melalui 113 Pejabat Belia dan Sukan Daerah/ Bahagian/ Kawasan di seluruh negara.

Buat permulaan program kayuhan santai Putrajaya Night Ride 2022 sejauh 10 km sekitar Putrajaya dengan penyertaan dalam kalangan penjawat awam dan komuniti setempat telah diadakan.

Program anjuran JBSN dan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu bertempat di Lobi Menara KBS.

Menurut YB Dato’ Seri Ahmad Faizal, program ini merupakan inisiatif KBS di dalam pemerkasaan agenda pembangunan belia dan sukan menerusi gaya hidup aktif dan sihat termasuklah dalam kalangan penjawat awam.

“Penganjuran program dan aktiviti pembangunan sukan termasuklah melibatkan elemen kecergasan seperti larian dan berbasikal akan dianjurkan KBS di pelbagai peringkat terutamanya di komuniti bagi memastikan penglibatan terus masyarakat dan seterusnya menjayakan agenda menjadikan Malaysia sebagai sebuah “Negara Sukan," ujar beliau.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Dato' Sri Ti Lian Ker; Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Jana Santhiran Muniayan; Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad; Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail serta pengurusan tertinggi KBS dan JBSN.

Ditulis oleh: JBSN Media