PUTRAJAYA, 18 MEI 2022 - Selaras dengan hasrat pemerkasaan pembangunan belia dan sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) sedang merangka beberapa program dan aktiviti termasuklah di peringkat akar umbi.

Program yang akan dijalankan akan memberikan fokus kepada konsep people-centric dengan penekanan kepada pengisian dan aktiviti yang dekat dengan masyarakat.

Sehubungan itu, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan bertempat di Menara KBS, Putrajaya yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KBS, Dato' Jana Santhiran Muniayan.

Menurut Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad, program dan aktiviti yang akan dijalankan kelak adalah diyakini memberikan impak yang positif terutamanya dalam kalangan pemegang taruh belia dan sukan.

"JBSN akan menggerakkan Jabatan Belia dan Sukan Negeri untuk bersama memastikan kelancaran program mengikut aspirasi yang ditetapkan pengurusan tertinggi KBS," ujar beliau.

Turut hadir, Dr. Zainah Shariff, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Belia) JBSN dan pengurusan tertinggi JBSN serta wakil Pejabat YB Senator Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Ditulis oleh: Media JBSN