IPOH, 20 MAC 2022 - Setelah dibatalkan pada edisi lepas berikutan penularan pandemik COVID-19, Le Tour de Langkawi (LTdL) akan kembali dianjurkan bermula 11 hingga 18 Jun 2022.

Menerusi majlis pengumuman oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Faizal bin Dato' Azumu, LTdL 2022 akan dianjurkan melibatkan lapan peringkat sejauh 1,183 km.

LTdL jelas berada di kelas tersendiri dengan berstatus berstatus Pro Series, iaitu setakuk di bawah kategori tertinggi Siri Jelajah Dunia UCI iaiatu Tour de France, Giro d’Italia, Vuelta Espana, saingan Klasik serta perlumbaan Jelajah Dunia lain.

Sejak bermula pada 1996 dengan kategori 2.6, LTdL menjadi gelanggang pilihan pasukan dan pelumba profesional termasuk dari negara kuasa besar sukan berbasikal seperti Itali, Perancis, Sepanyol, Jerman, Britain dan negara Eropah lain.

Nama-nama besar seperti bekas juara Tour de France Egan Bernal, legenda Itali Andrea Tafi, bekas juara dunia Paolo Bettini, Alessandro Pettachi, Floyd Landis, Chris Horner, Julio Perez, Rinaldo Nocentini, Jan Koerts, Stuart O’Grady, Thomas Voeckler, Gabriele Missaglia, Steven Kruijswijk dan pakar pecut Caleb Ewan dari Australia pernah mewarnai edisi-edisi LTdL sebelum ini.

Majlis pengumuman yang diadakan di Klebang Restu, Ipoh turut dihadiri Ketua Setiausaha KBS, Dato' Jana Santhiran Muniayan; Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad; Naib Presiden PKBM, Dato' Amarjit Singh Gill dan Ketua Pegawai Operasi Human Voyage, Shahaizereen Abd Hamid.

 

Peringkat 1: Kuala Lumpur - Kuala Pilah

Peringkat 2: Kuala Klawang - Raub

Peringkat 3: Putrajaya- Genting Highlands

Peringkat 4: Kuala Selangor - Tambun

Peringkat 5: Kuala Kangsar - Kulim

Peringkat 6: Georgetown - Alor Setar

Peringkat 7: Kuah - Gunung Raya, Langkawi

Peringkat 8: Kuah - Langkawi Loop

 

Ditulis oleh: Media JBSN