MELAKA, 20 MEI 2022 - Ketua Setiausaha KBS, Dato' Jana Santhiran Muniayan turun padang meninjau naik taraf dan baik pulih prasarana belia dan sukan di bawah pentadbiran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka (JBS Negeri Melaka).

Lawatan yang diiringi Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Ayer Keroh dan Kompleks Rakan Muda (KRM) Alor Gajah.

Kedua-dua prasarana tersebut sedang dinaik taraf bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat merangkumi kerja bangunan, elektrikal dan mekanikal.

Menurut Tuan Mohd Azhari, JBSN akan terus memantau perkembangan projek bagi memastikan ia mengikut jadual yang ditetapkan.

"Setelah siap kelak, kita berbesar hati untuk menerima tempahan penggunaan seterusnya merancakkan lagi pemerkasaan pembangunan belia dan sukan setempat," ujar beliau.

Sesi penerangan dan taklimat dikendalikan oleh Pengarah JBS Negeri Melaka, Encik Khairul Adri Dato' Rosli.

Ditulis oleh: Media JBSN