UPM,Serdang - YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, Timbalan Menteri Belia dan Sukan telah merasmikan Karnival Rekreasi Luar Kebangsaan 2021 di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.Turut hadir dalam Majlis Perasmian Karnival Rekreasi Luar Kebangsaan adalah YBhg. Prof. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. En. Mohd Azhari bin Mohammad, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), YBhg. Prof. Dr. Hazandy Abd. Hamid Dekan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg. Prof. Dr. Mohad Anizu Mohd Nor, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), En Nor Rijam Ibrahim, Presiden Persatuan Jurulatih Rekreasi Malaysia.

Karnival Rekreasi Luar Kebangsaan atau Malaysia Outdoor Recreation Carnival (MOREC) 2021 berlangsung dari 18 hingga 19 Disember 2021 merupakan anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan kerjasama Persatuan Jurulatih Rekreasi Malaysia (PJRM) serta Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).Bersempena Karnival Rekreasi Luar Kebangsaan (MOREC) 2021, juga diadakan Pentauliahan Jurulatih Rekreasi Luar Kebangsaan yang telah menamatkan Kursus Rekreasi Luar Tahap 3 dan pelancaran 2 buah buku iaitu Buku Kurikulum dan Sukatan OUTREC dan Buku SOP Rekreasi Luar Kebangsaan.Pelaksanaan Karnival ini dengan norma baharu adalah tepat pada masanya kerana akan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sukan rekreasi luar dan seterusnya memulihkan industri rekreasi luar.