IPOH, 20 MAC 2022 - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah proaktif dengan memberikan perkhidmatan secara terus kepada komuniti terutamanya dalam kalangan pemegang taruh belia dan sukan dengan menganjurkan Karnival Belia dan Sukan 2022 bertempat di Padang Awam Medan Klebang Restu, Ipoh.

Karnival selama dua hari ini dianjurkan dengan semangat Keluarga Malaysia melalui pengisian aktiviti yang dibahagikan kepada beberapa segmen antaranya sukan dan rekreasi, kesihatan, kerjaya & pendidikan, kerohanian, pameran agensi dan perkhidmatan komuniti bermula 19 hingga 20 Mac 2022.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu, penganjuran Karnival Belia dan Sukan 2022 memberi sinergi baharu pasca COVID-19 menerusi tawaran baharu (new deals) kepada keresahan rakyat terutamanya generasi muda di mana KBS memberikan penekanan kepada usaha intervensi sosial menerusi pameran pendidikan dan kerjaya di samping perkhidmatan komuniti seperti khidmat nasihat, advokasi dan seumpamanya.

“Selain itu, KBS juga berhasrat menyemai pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi gerakan mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat yang dilakukan dengan selamat dan mematuhi SOP Sektor Sukan dan Rekreasi melalui penganjuran acara sukan seperti larian, berbasikal, futsal, bola jaring dan sebagainya.

“KBS juga sedang merancang untuk menganjurkan Karnival Belia dan Sukan 2022 di beberapa lokasi terpilih selepas ini berdasarkan sambutan hangat dan sokongan padu yang diterima daripada masyarakat terutamanya komuniti setempat,” tambah beliau.

Menerusi kerjasama strategik di antara KBS dan Persatuan Pembangunan Manitha, karnival ini turut melibatkan jabatan dan agensi di bawah KBS bagi memberikan perkhidmatan terus kepada pengunjung.

Antaranya Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan sebagainya. Di samping itu, agensi-agensi kerajaan peringkat negeri, pihak korporat dan swasta turut bersama-sama menjayakan karnival ini.

Lebih manis, karnival turut diserikan dengan Ceramah Perdana oleh Ustaz Don di samping penampilan istimewa daripada Kumpulan Inteam dan Harry Khalifah.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu. Turut hadir Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Jana Santhiran Muniayan; Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohamad serta pengurusan tertinggi KBS dan JBSN.

Ditulis oleh: Media JBSN