BENTONG, 1 APRIL 2022 - Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) komited memperkasakan pembangunan sukan bermotor di peringkat akar umbi seterusnya membawa Malaysia ke persada antarabangsa.

Dengan kerjasama Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), JBSN telah selesai menjalankan Bengkel Pemurnian Modul Disiplin Sukan Permotoran dengan objektif menambah baik dan mengemaskini modul.

Majlis penutup telah disempurnakan Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad di mana turut dihadiri Pengarah Cawangan Penggalakan dan Pembangunan Sukan, Encik Sabran Abd Bahar.

Menurut Ketua Pengarah JBSN, pembangunan sukan bermotor merupakan salah satu agenda utama yang akan digerakkan JBSN menerusi Unit Sukan Permotoran.

"Melalui penekanan kepada disiplin empat dan dua roda, program yang dijalankan JBSN akan memberi tumpuan kepada segenap peringkat terutamanya di peringkat akar umbi.

"Antaranya JBSN telah menganjurkan inisiatif MyFit @ Motorsports menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri di seluruh negara dan usaha ini akan diteruskan lagi selepas perayaan Aidilfitri nanti," tambah beliau.

Turut hadir, Pengarah Cawangan Pembangunan Sukan Rekreasi, Encik Nor Azli Mohamad Daud dan warga kerja Unit Sukan Permotoran.

Ditulis oleh: Media JBSN