SHAH ALAM, 30 MAC 2022 - Pembangunan sukan untuk semua termasuklah di peringkat akar umbi merupakan komitmen utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN). 

Antara inisiatif yang telah digerakkan JBSN adalah menerusi penerokaan sukan baharu bagi tujuan penggalakan dan pembangunan sukan seterusnya dikembangkan ke kepelbagaian peringkat.

Bagi edisi 2022, JBSN dengan kerjasama Footgolf Malaysia akan menganjurkan Klinik Pembangunan Asas di seluruh negara bagi memperkenalkan sukan footgolf kepada masyarakat termasuklah pencarian bakat baharu.

Sebagai permulaan, Klinik Pembangunan Sukan Footgolf telah diadakan di Bukit Jelutong Golf Centre melibatkan seramai 30 orang Pegawai Belia dan Sukan dari Ibu Pejabat Jabatan Belia dan Sukan Negara sebelum dikembangkan ke seluruh negara.

"JBSN menerusi Bahagian Pembangunan Sukan akan menganjurkan pelbagai program di peringkat akar umbi termasuklah melibatkan sukan baharu seterusnya menyokong aspirasi KBS di dalam membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat," ujar Encik Sabran Abd Bahar, Pengarah Cawangan Penggalakan dan Pembangunan Sukan.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Cawangan Penggalakan dan Pembangunan Sukan, Encik Ahmad Syammeil bin Mohamad Karim.

Ditulis oleh: Media JBSN