KUALA LUMPUR, 20 FEBRUARI 2022 – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) menganjurkan program "Coffee Ride KL Car Free Morning: Kayuh Pelan-Pelan YB Menteri Belia dan Sukan" hari ini. Program dianjurkan bersempena "KL Car Free Morning", inisiatif di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Coffee Ride KL Car Free Morning: Kayuh Pelan-Pelan" merupakan cetusan idea Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu yang berobjektif membudayakan sukan dan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat termasuklah warga kota.

Menerusi sokongan Kelab Berbasikal Clever Speda dan Kumpulan Shapadu, program ini dianjurkan dengan pematuhan ketat berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) Am Sektor Sukan dan Rekreasi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4. Semua peserta berkayuh dan berlari secara santai dengan jarak antara 7 hingga 10 kilometer di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

Selain itu, peserta juga berpeluang melakukan dan menonton aktiviti sampingan di Program Simulasi Youth Street @ DBKL antaranya melibatkan senamrobik, persembahan basikal lasak, nyanyian buskers, pameran kesenian dan banyak lagi.

Turut hadir Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato’ Jana Santhiran Muniayan, TKP (Pembangunan Belia) JBSN, YBrs. Dr. Zainah Shariff dan pengurusan tertinggi KBS dan JBSN.

Ditulis Oleh: Media JBSN