Bahagian Pembangunan Belia


TUARAN, 14 JULAI 2022 - 
Salah satu pengisian sempena sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan adalah sesi membaca Ikrar Belia Malaysia yang turut mendapat sokongan institusi pendidikan di Malaysia.


Antara yang turut bersama membacakan ikrar adalah warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Tuaran yang turut dihadiri Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad.

Menurut Tuan Mohd Azhari Mohammad, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi JBSN menyediakan pelbagai aktiviti dan pengisian sepanjang berlangsungnya Karnival Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2022 bertempat di Padang Pekan Tuaran.

"Lebih daripada 40 aktiviti dianjurkan melibatkan beberapa segmen yang diyakini akan menarik minat penyertaan belia terutamanya di Sabah termasuklah Ikrar Belia Malaysia.

"Terima kasih dan tahniah kepada warga SMK Badin atas komitmen dan kerjasama yang diberikan terutamanya kepada Pengetua, Encik Zamli Mantamin," tambah beliau.


Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Encik Apui Jan.

Ditulis oleh: Media JBSN

PUTRAJAYA, 13 JULAI 2022 - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah menggerakkan sukarelawan belia bagi memantau sebarang eksploitasi kenaikan atau lonjakan harga di pasaran.

Inisiatif ini digerakkan bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) di mana para sukarelawan akan diberikan taklimat dan panduan terlebih dahulu sebelum turun ke lapangan. Sebarang penemuan akan dilaporkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. 

Untuk itu, Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi turun padang melakukan tinjauan di salah sebuah pasar raya di Putrajaya.

Menurut Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad, JBSN komited menggerakkan inisiatif ini seperti yang diumumkan YB Menteri melalui kenyataan media pada 24 Jun 2022.

"Insya-Allah para sukarelawan akan diberikan penerangan dan taklimat sebelum turun ke lapangan di mana sesi tersebut akan dijalankan secara dalam talian.

Turut bersama, Ketua Setiausaha KBS, Dato' Jana Santhiran Muniayan.

Ditulis oleh: Media JBSN

PUTRAJAYA, 13 JULAI 2022 -
Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan penyerahan Felo Perdana dan Felo Korporat bertempat di Bangunan Perdana Putra.


Program ini merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) yang memberikan peluang kepada felo menjalani latihan berkonsepkan "mentoring" bersama Ahli Jemaah Menteri atau tokoh korporat.

Menurut YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, program ini memberi peluang kepada golongan muda untuk menimba pengalaman bekerja bersama-sama Ahli Jemaah Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat korporat.

"Semoga pengalaman dan ilmu yang dititipkan, sama ada di pejabat atau di lapangan, akan memberi pengalaman dan pembelajaran yang berharga kepada mereka dalam meneruskan perjalanan karier nanti," tambah beliau.

Majlis turut dihadiri, Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Faizal Dato' Azumu, Ahli Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha KBS, Dato' Jana Santhiran Muniayan.

Turut bersama, Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad.

Ditulis oleh: Media JBSN

PUTRAJAYA, 8 JULAI 2022 - Delegasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), YBhg. Dato' Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad.

Perbincangan antara lain memberi fokus mengenai kerjasama di antara Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan AADK berkaitan program dan aktiviti terutamanya melibatkan kesedaran dan pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak muda.

Menurut Tuan Mohd Azhari Mohammad, AADK merupakan antara rakan strategik utama JBSN melibatkan usaha dan inisiatif pembangunan belia di Malaysia.

"Melalui kepakaran dan peranan oleh AADK, JBSN komited menganjurkan inisiatif intervensi sosial agar pembangunan belia Malaysia diperkasakan termasuklah dalam kalangan belia berisiko," tambah beliau.

Turut bersama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Belia), Dr. Zainah Shariff dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Rakan Muda), Puan Azura Haji Sarbin.

Ditulis oleh: Media JBSN