Bahagian Pembangunan Belia


AYER KEROH, 29 JULAI 2022 -
Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin Md Ali hadir merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Melaka Sidang II Penggal Ke-33 Tahun 2021 - 2022.

Berlangsung di salah sebuah hotel di Ayer Keroh, majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ahli Dewan Negara merangkap Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka, YB Senator Datuk Mohd Ridhwan bin Mohd Ali disusuli ucapan perasmian YAB Ketua Menteri Melaka.

Menurut Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad, MPBN merupakan platform terbaik bagi membincangkan usul berkaitan pembangunan belia seterusnya diangkat ke peringkat tertinggi.

"Melalui penglibatan terus daripada jabatan dan agensi kerajaan, perwakilan boleh mendapatkan maklum balas dan pandangan berkenaan mana-mana usul yang dibahaskan," tambah beliau.

Turut hadir, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Melaka, YB Tuan VP Shanmugam dan Pengarah JBS Negeri Melaka, Encik Khairul Adri Dato’ Rosli.

Ditulis oleh: Media JBSN

SIEM REAP, 26 JULAI 2022 -
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Tuan Mohd Azhari Mohammad mewakili Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke program antarabangsa "1st ASEAN Youth Dialogue".


Dialog yang dianjurkan ASEAN ini membawa tema "Youth in the Era of the Fourth Industrial Revolution: Opportunities and Challenges in the Post-Pandemic Recovery" di mana berlangsung bermula 25 hingga 26 Julai 2022.

Menurut Tuan Mohd Azhari Mohammad, penganjuran program antarabangsa ini adalah amat signifikan bagi mendengar dan membincangkan perkara berkaitan pembangunan belia daripada perspektif serantau.

"Pelbagai perkara dibincangkan secara tuntas dan konstruktif dalam kalangan delegasi terutamanya melibatkan pembangunan belia daripada perspektif serantau.

Turut bersama mewakili negara adalah dalam kalangan belia Malaysia iaitu Norhazim Mohamad Sukri, Prasand Nair, Shahidah Mohamad Shahripoddin, Muhaiziah Muhammed Kifli dan Tan Zi Yi.

Ditulis oleh: Media JBSN

KUANTAN, 17 JULAI 2022 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Belia Negara dan Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara 2022 Peringkat Negeri Pahang.

Berlangsung di salah sebuah hotel di Kuantan, sambutan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Dato' Sri Ti Lian Ker.

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Presiden Majlis Belia Negeri Pahang merangkap Presiden Majlis Belia Malaysia, saudara Izzat Afifi Abdul Hamid disusuli ucapan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan NGO Negeri Pahang, YB Dato' Sri Haji Mohd Johari bin Haji Hussain.

Menurut Ketua Pengarah JBSN, Hari Belia Negara (HBN) merupakan pengiktirafan dan penghargaan buat golongan belia yang merupakan nadi pembangunan negara.

"Susulan sambutan di peringkat kebangsaan, HBN akan dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah di mana para belia boleh mendapatkan maklumat lanjut di Jabatan Belia dan Sukan Negeri atau Pejabat Belia dan Sukan Daerah/ Bahagian/ Kawasan yang berhampiran," tambah beliau.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Tuan Abdullah Hasan dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Mu'azamir Haji Jili.

Ditulis oleh: MEDIA JBSN


SENARAI PEMENANG ANUGERAH PERDANA BELIA NEGARA PERINGKAT NEGERI PAHANG 2022

1. Anugerah Khas Diraja: Samuel Isaiah


2. Johan Kategori Individu Lelaki: Saudara Anbalagan Devar

3. Johan Kategori Individu Wanita: Saudari Hafiza Mohd Khir Johari

4. Johan Kategori Pertubuhan Belia: Persatuan Belia MBFM Felda Sri Pagi Jengka 17 

KUANTAN, 15 JULAI 2022 - Karnival Belia dan Sukan Pahang 2022 membuka tirai melalui Pameran Peluang Kerjaya Y-Career bertempat di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan.

Y-Career anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) menawarkan peluang dan penciptaan pekerjaan khusus buat anak muda terutamanya dengan sokongan syarikat dan agensi korporat serta swasta.

Lebih menarik, program turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Dato' Sri Ti Lian Ker yang meluangkan masa menemui dan beramah mesra bersama pengunjung terutamanya dalam kalangan anak muda.

Menurut Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) JBSN, Encik Sabran Abdul Bahar, Y-Career merupakan sebahagian daripada pengisian di bawah Karnival Belia dan Sukan Pahang 2022.

"Program ini khusus buat para belia terutamanya lepasan sekolah untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan peluang dan penciptaan pekerjaan," tambah beliau.

Karnival Belia dan Sukan Pahang akan berlangsung bermula 15 hingga 17 Julai 2022 bertempat di Padang Kemunting, Kuantan.

Ditulis oleh: Media JBSN