Bahagian Pembangunan Belia

PUTRAJAYA, 18 MEI 2022 - Sedang berlangsung sesi temuduga bagi pengambilan peserta ke program Felo Perdana dan Felo Korporat 2022. Sesi ini dijalankan secara atas talian bermula dari 17 hingga 19 Mei 2022. Seramai 279 orang calon telah dipanggil menghadiri temu duga iaitu 200 orang calon peserta Felo Perdana dan 79 orang calon peserta Felo Korporat. Calon-calon peserta telah dibahagikan kepada 6 kumpulan (4 kumpulan Felo Perdana dan 2 kumpulan Felo Korporat) dan setiap kumpulan telah diketuai oleh ketua panel yang dilantik dalam kalangan pegawai KBS serta wakil korporat.
Untuk makluman, program Felo Perdana dan Felo Korporat merupakan sebuah program kepimpinan aras tinggi anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negara yang memberi peluang kepada belia menyerlahkan potensi diri dan menjadi ikon kepada belia Malaysia. Pelaksanaan program ini pada setiap tahun adalah diharapkan dapat melahirkan barisan pemimpin-pemimpin muda yang kompeten seterusnya menjadi kebanggaan negara

 

PUTRAJAYA, 17 MEI 2022 - Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad menerima lapor diri beberapa Pegawai Belia dan Sukan Gred S41 di pejabatnya hari ini.

Tuan Mohd Azhari turut meluangkan masa memberikan amanat kepada pegawai terlibat sebelum masing-masing memulakan tugas di Bahagian atau Pejabat baharu

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pegawai dan semoga dapat memberikan perkhidmatan terbaik seterusnya menyumbang kepada pembangunan belia dan sukan.

"Pegawai diharapkan menggunakan kreativiti dan kemahiran masing-masing agar dapat memberikan perkhidmatan yang segar dan memberikan impak kepada para pemegang taruh," tambah beliau.

Tahniah dan syabas! Selamat bertugas!

Ditulis oleh: Media JBSN

 

SENARAI PERTUKARAN PEGAWAI IBU PEJABAT JBSN/ AKADEMI PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

  1. Encik Mohamad Syahmi bin Mohamad Anis - Dari Pejabat Belia dan Sukan Hilir Perak ke Bahagian Pembangunan Sukan JBSN
  2. Encik Yan Mohd Nor Alif bin Mohamad Noh - Dari Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia ke Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSN
  3. Encik Anuar Hamid - Dari Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur ke Bahagian Pembangunan Sukan JBSN
  4. Puan Nurazlina Ramli - Dari Bahagian Pembangunan Sukan JBSN ke Akademi Pembangunan Belia Malaysia Port Dickson

 

PUTRAJAYA, 11 MEI 2022 - Salah satu program signature anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) adalah Parlimen Belia Malaysia. 

Program ini merupakan platform buat perwakilan belia yang terpilih untuk berbahas dan membincangkan usul merangkumi pelbagai perspektif terutamanya isu yang dekat dengan generasi muda.

Sehubungan itu, satu mesyuarat penyelarasan khas bagi membincangkan persiapan program telah dijalankan secara hibrid dari Menara KBS, Putrajaya.

Menurut Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad, program Parlimen Belia Malaysia antara program utama yang dirangka JBSN menerusi Bahagian Pembangunan Belia.

"Mesyuarat pada hari ini merupakan inisiatif yang baik bagi memastikan pelaksanaan program kelak berjalan dengan lancar dan rapi terutamanya dengan sokongan pelbagai jabatan dan agensi termasuklah Parlimen Malaysia," ujar beliau.

Turut hadir, TKP (Pembangunan Belia), Dr. Zainah Shariff dan pengurusan JBSN.

Ditulis oleh: Media JBSN

 

PUTRAJAYA, 27 APRIL 2022 - Keluarga Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) berasa teruja menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Faizal Dato' Azumu.

YB Menteri meluangkan masa bertemu dan beramah mesra bersama seluruh warga kerja Ibu Pejabat JBSN seterusnya menyerahkan pek hari raya.

Menurut Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad, seluruh keluarga JBSN mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri dan pengurusan kanan KBS yang sudi berkunjung ke JBSN.

"Semoga Aidilfitri yang bakal tiba kelak disambut dengan penuh keceriaan, harmoni dan kesyukuran di samping mematuhi SOP di bawah Fasa Peralihan ke Endemik," tambah beliau.

Antara yang dikunjungi rombongan adalah Pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Belia, Bahagian Pembangunan Sukan, Bahagian Pembangunan Rakan Muda dan Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan Sokongan.

Ditulis oleh: Media JBSN