Bahagian Pembangunan Belia

 

SEPANG, 17 JUN 2022 - Seramai 102 pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negara merangkumi Ibu Pejabat, Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Akademi Pembangunan Belia Malaysia  menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KBS Tahun 2021.

Berlangsung di salah sebuah hotel di Sepang, majlis telah disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Faizal Dato' Azumu di mana turut disiarkan secara dalam talian.

Menurut Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad, anugerah ini merupakan pengiktirafan bagi meraikan sumbangan dan pengorbanan warga kerja JBSN di dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Walaupun berdepan pandemik COVID-19, Team JBSN sentiasa komited memberikan perkhidmatan terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih berkuat kuasa.

"Semoga kecemerlangan dan momentum yang dibina ini berkekalan seterusnya memperkasakan peranan yang dimainkan JBSN demi pembangunan belia dan sukan terutamanya di peringkat akar umbi," tambah beliau.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Dato' Sri Ti Lian Ker, Ketua Setiausaha KBS, Dato' Jana Santhiran Muniayan dan pengurusan tertinggi KBS dan JBSN.

Ditulis oleh: Media JBSN

 

BANGI, 16 JUN 2022 - Persidangan Parlimen Belia Malaysia yang berlangsung pada 14 hingga 16 Jun 2022 ditangguhkan di mana sebanyak 4 usul telah dibahaskan.

Berlangsung di salah sebuah hotel di Bangi, persidangan ini berlangsung menggunakan mekanisme pelaksanaan Parlimen Malaysia di mana usul yang dipersetujui akan dibawa ke Jemaah Menteri.

Parlimen Belia mampu mencorak pemimpin muda yang berkualiti dan boleh digilap potensinya untuk menjadi pemimpin pelapis yang mana kerajaan bersetuju memberikan elaun menghadiri persidangan sebanyak RM200.00 seorang kepada setiap perwakilan yang hadir sepenuh masa.

Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Faizal Dato' Azumu menerusi penggulungan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ahli-Ahli Parlimen Belia yang memberikan cadangan dan pandangan yang bernas membahaskan usul.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih khususnya kepada pihak Parlimen Malaysia terutamanya speaker yang bertugas YB Dato' Rashid bin Hasnon, YB Tuan Abdul Latif bin Abdul Rahman dan Setiausaha Dewan Rakyat atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan Persidangan Parlimen Belia Malaysia 2022." tambah beliau.

Turut hadir ketika sesi penggulungan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Dato' Sri Ti Lian Ker dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Belia) JBSN, Dr. Zainah Shariff.

Ditulis oleh: Media JBSN

 

 

BANGI, 15 JUN 2022 - Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob hadir ke Persidangan Parlimen Belia Malaysia Sidang 1 Tahun 2022 bertempat di salah sebuah hotel di Bangi di mana YAB Perdana Menteri turut menyempurnakan sijil penghargaan kepada semua perwakilan.

Persidangan yang berlangsung bermula 14 hingga 16 Jun ini disertai seramai 90 orang perwakilan yang bersidang bagi membahaskan 4 usul berkaitan pembangunan belia Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad, Parlimen Belia Malaysia merupakan antara program signature KBS yang dianjurkan menerusi Jabatan Belia dan sukan Negara.

"Program yang telah bermula sejak 2015 ini merupakan platform terbaik perwakilan menyuarakan idea dan pandangan di mana seramai 90 Ahli Parlimen Belia Malaysia sesi 2019 – 2021 terlibat bagi persidangan kali ini.

"Diadaptasi daripada Model Parlimen Belia yang turut diaplikasikan di 33 buah negara, program ini diyakini melahirkan bakal penerus legasi kepimpinan masa depan negara," tambah beliau.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Faizal Dato' Azumu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Dato' Sri Ti Lian Ker, Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato' Jana Santhiran Muniayan dan pengurusan tertinggi KBS.

Ditulis oleh: Media JBSN

 

TAWAU, 11 JUN 2022 - Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad turun padang melawat dan meninjau Pejabat Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Tawau.

Lawatan ini adalah sebahagian daripada rangka lawatan kerja rasmi Ketua Pengarah JBSN ke Bahagian Tawau di mana turut melibatkan tinjauan ke pejabat, premis dan kemudahan di bawah pentadbiran JBSN.

Beroperasi di Wisma Persekutuan Tawau, taklimat dan penerangan telah disampaikan oleh Pemangku Pegawai Belia dan Sukan Daerah, saudara Mohd Ali Abdul Sari.

Pejabat Belia dan Sukan berperanan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat berkaitan pembangunan belia dan sukan termasuklah khidmat nasihat, penganjuran program atau aktiviti, konsultasi dan banyak lagi.

Menurut Tuan Mohd Azhari, tinjauan ini akan terus dilaksanakan secara berkala melibatkan 113 Pejabat Belia dan Sukan Daerah/ Bahagian/ Kawasan di seluruh Malaysia

"Usaha ini adalah bagi memastikan setiap pejabat beroperasi dengan tadbir urus yang baik dan cekap seterusnya memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat terutamanya dalam kalangan pemegang taruh belia dan sukan," ujar beliau.

Ditulis oleh: Media JBSN