Bahagian Pembangunan Belia


ALOR SETAR, 6 SEPTEMBER 2022 - Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) merasmikan penutupan program "bootcamp" di bawah inisiatif "Social Entrepreneurship for Rural Youth" (SERY) bertempat di Universiti Antarabangsa Al-Bukhary, Alor Setar.

Berlangsung bermula 3 hingga 6 September, SERY merupakan inisiatif baharu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi JBSN dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan myHarapan yang bertujuan membangunkan potensi belia dalam bidang keusahawanan sosial seterusnya memberikan impak dalam kalangan komuniti luar bandar.

Menurut Tuan Mohd Azhari, sebanyak 10 kumpulan akan disaring dan dipilih selepasnya berakhirnya fasa ketiga "bootcamp" untuk peringkat seterusnya iaitu prototaip.

"Setiap cadangan projek akan dinilai dan diteliti oleh panel khas yang dilantik seterusnya diangkat ke pertimbangan jawatankuasa pelaksanaan di mana hanya 10 kumpulan sahaja akan dipilih ke peringkat seterusnya iaitu prototaip yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat," tambah beliau.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Belia), Dr. Zainah Shariff dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Encik Abd Aziz Abd Rahman.

Ditulis oleh: Media JBSN

KANGAR, 5 SEPTEMBER 2022 - Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Tuan Mohd Azhari Mohammad turun padang melawat dan memantau pengoperasian Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis di Kangar dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah di Alor Setar.

Lawatan antara lain memberikan penekanan kepada pemeriksaan tadbir urus merangkumi pengurusan kewangan, aset, sumber manusia, prasarana dan sebagainya. 

Menurut Tuan Mohd Azhari, lawatan secara berkala ini akan diadakan secara berterusan bagi memastikan pengoperasian berada di tahap terbaik seterusnya memberikan perkhidmatan berkesan kepada masyarakat.

"Pelbagai aspek akan diperiksa seterusnya ditambah baik demi memastikan setiap perkhidmatan yang disampaikan memberikan impak positif kepada segenap pemegang taruh," tambah beliau.

Sesi disudahi dengan pertemuan bersama warga kerja Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah di mana kedua-dua pihak saling bertukar pandangan, idea dan aspirasi.

Ditulis oleh: Media JBSN

KUALA LUMPUR, 4 SEPTEMBER 2022 - Menteri Wilayah Persekutuan, YB Dato' Seri Dr. Shahidan Kassim rasmikan sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertempat di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini.

Pelbagai pengisian dan aktiviti dianjurkan sempena HBN merangkumi kepelbagaian segmen antaranya keusahawanan dan ekonomi belia, sukan dan rekreasi, pameran dan perkhidmatan agensi kerajaan dan banyak lagi.

Menurut Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad, Hari Belia Negara (HBN) merupakan pengiktirafan dan penghargaan yang didedikasikan khusus buat golongan belia yang turut memainkan peranan yang signifikan di dalam pembangunan negara.

"Menariknya bagi edisi 2022, Hari Belia Negara (HBN) akan disambut secara menyeluruh merangkumi peringkat daerah, negeri dan kebangsaan," tambah beliau.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Encik Asmori Haji Sa'ahari.

Ditulis oleh: Media JBSN

ROMPIN, 23 OGOS 2022 - Bagi memastikan peraturan dan tatacara kewangan dipatuhi di segenap peringkat termasuk di peringkat negeri dan daerah/ bahagian/ kawasan, Ibu Pejabat Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah menganjurkan Kursus Tatacara Perolehan Siri 2 Tahun 2022. 

Berlangsung di salah sebuah premis di Rompin, kursus antara lain membincangkan pelbagai perspektif melibatkan pengurusan kewangan termasuklah perolehan, pentadbiran kontrak dan sebagainya.

Menurut Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad, kursus ini diadakan bagi mendedahkan setiap Ketua Jabatan dengan peraturan dan tatacara kewangan yang sedang berkuat kuasa dan terkini.

"Pengurusan kewangan adalah tunjang kepada pengoperasian pentadbiran di mana JBSN komited memastikan setiap peraturan dan tatacara dipatuhi mengikut pekeliling semasa," tambah beliau.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan Sokongan (P&K), Dr. Nor Hasmat Abd Aziz.

Ditulis oleh: Media JBSN