KUALA LUMPUR, 11 FEBRUARI 2020 - Penggunaan digital penting bagi pedagang runcit memacu pertumbuhan yang mampan dan terus kekal dalam pasaran. Platform pembayaran digital terkemuka, Fave menerusi laporannya 2020 Trend Runcit di Malaysia mendapati transformasi yang berlaku di seluruh sektor runcit Malaysia bertindak balas terhadap perubahan pilihan pelanggan, kemajuan teknologi dan evolusi pembayaran. Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Fave, Joel Neoh berkata, dalam persekitaran global yang pesat berubah, penggunaan digital penting bagi peniaga.  “Di Fave, kami terus berinovasi dan mendorong sempadan kami untuk berkembang dan membolehkan pedagang memenuhi keperluan pelanggan yang beralih,” katanya menerusi kenyataan. Menurutnya, 2019 menyaksikan tonggak penting perniagaan di seluruh platform Fave dan revolusi tanpa tunai sudah berkembang ke 30 bandar di seluruh 13 negeri di Malaysia di mana pedagang menerima pertumbuhan mantap selama lima tahun terakhir dalam nilai transaksi tanpa tunai. Kenaikan penggunaan Internet mudah alih, e-dompet dan pembayaran tanpa tunai membuka jalan bagi pedagang yang diberi kuasa secara digital. Fave mendapati peningkatan bilangan peniaga luar talian offline dalam pelbagai segmen runcit mengembangkan perniagaan mereka melalui potensi pembayaran tanpa tunai dan tidak sabar membuat peralihan untuk menjalankan perniagaan mereka secara dalam talian. Laporan yang dijalankan Fave itu berdasarkan data analisis yang disusun daripada lebih 15,000 peniaga di seluruh Malaysia di platform pedagang digital Fave, Favebiz antara 1 Januari hingga 31 Disember 2019 dan disokong dengan penyelidikan luaran mengenai pembayaran digital di Asia Tenggara. Selaras dengan peralihan negara kepada ekonomi tanpa tunai, laporan itu membincangkan topik tepat pada masanya untuk memperkasa pedagang offline untuk mengiktiraf kebiasaan pembayaran digital dalam mencapai pertumbuhan mampan. Ada lima kategori segmen yang dikenal pasti dalam laporan iaitu makanan dan minuman (F&B), runcit, kecantikan dan kesihatan, kecergasan, aktiviti serta perkhidmatan. Artikel ini oleh Harian Metro disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 6:10 AM